Prob angkasa lepas Beresheet dari SpaceIL yang berpangkalan di Israel baru-baru ini dilaporkan telah gagal menjadi prob persendirian pertama mendarat di Bulan. Ketika cubaan untuk mendarat, enjinnya didapati tidak berfungsi dan talian komunikasinya pula terputus sebelum terhempas ke permukaan Bulan.
Bagaimanapun, sebelum insiden tersebut prob angkasa lepas berkenaan sempat mengambil foto permukaan bulan.
SpaceIL merupakan salah satu finalis pertandingan Google Lunar Xprize yang diakhiri tanpa pemenang. Jika prob berkenaan berjaya mendarat, ia ditugaskan untuk menjalankan beberapa ujikaji saintifik.
Antaranya termasuklah mengukur gelombang magnetik setempat di Bulan menggunakan magnetometer dan juga mengukur jarak antara Bumi dan Bulan menggunakan tatasusunan laser retroreflektor buatan NASA. Selain itu, prob berkenaan turut membawakan salinan Wikipedia berbahasa Inggeris, peranti boleh pakai Rosetta Disk, kitab Taurat, lukisan kanak-kanak, memoir mangsa terselamat Holocaust dan lain-lain.
Kerjasama dengan SpaceX
Roket SpaceX Falcon 9 telah melancarkan prob angkasa lepas Beresheet ke orbit tinggi Bumi pada 22 Februari lepas. Bulan-bulan berikutnya ia bergerak secara beransur-ansur ke dalam orbit Bulan dan disasarkan mendarat di bahagian hemisfera utara.
Teknik yang digunakan sepanjang misi ini adalah diluar kebiasaan kerana direka bagi tujuan penjimatan bahan api. Sebaik sahaja jika ianya mendarat, prob berkenaan mampu digunakan untuk beberapa hari berikutnya.
Pun begitu, sewaktu hampir menuju matlamatnya, enjinnya telah berhenti secara tiba-tiba. Pusat kawalan telah berjaya menghidupkannya semula dengan melakukan reset pada sistemnya.
Namun, prob berkenaan telah kehilangan terlalu banyak altitude dan hingga menyebabkan ianya hilang kawalan. Berdasarkan nilai telemetri terakhirnya, prob berkenaan telah terhempas ke permukaan pada kelajuan lebih kurang 482 km/j secara menegak.
Sungguhpun telah terhempas, percubaan dari SpaceIL ini dianggap sebagai satu kejayaan. Ia menjadi ‘negara’ keempat yang berjaya menempatkan prob di atas Bulan selepas Amerika Syarikat, bekas Kesatuan Soviet dan China.
Ia juga berjaya melakukan misi berkenaan pada kos $100 juta sahaja, sebuah jumlah yang amat kecil jika dibandingkan dengan misi-misi ke Bulan lain yang terdahulu.
SpaceIL menyatakan pihaknya tidak berputus asa dengan percubaan pertama ini dan merancang untuk membina sebuah lagi pendarat Beresheet untuk “melengkapkan misinya”.
Imej diperoleh dari SpaceIL/Beresheet Spacecraft













