April lalu, terdapat sedikit kekeliruan berkenaan penentuan harga untuk isian semula prabayar selepas penguatkuasaan cukai Barang dan Perkhdimatan (Goods and Services Tax, GST). Akhirnya, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengumumkan GST bakal dikenakan mengikut kadar penggunaan pengguna dan bukan pada harga isian semula.

Justeru, menjadikan harga untuk isian semula prabayar akan kembali kepada harga sebelum GST dilaksanakan. Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani penguatkuasaan ini akan diumumkan oleh Jabatan Kastam DiRaja Malaysia pada 1 November.

Langkah ini selaras dengan kenyataan KKMM sebelum ini bahawa syarikat-syarikat telco mampu mengguna pakai formula baru ini dalam jangka masa tempoh enam bulan. Menurut Datuk Johari Abdul Ghani, pihak kerajaan tidak boleh lagi bertolak ansur dengan syarikat-syarikat telco kerana tempoh yang diberikan sudah terlalu panjang.

Bagaimanapun, menteri berkenaan tidak menyatakan sama ada rancangan untuk mengenakan kadar GST prabayar mengikut penggunaan akan diteruskan atau tidak.

“Macam mana Telco mahu caj, mereka kena fikirkan cara itu. Yang penting rakyat beli RM10 dapat nilai RM10. Kita mahu JKDM buat susulan dengan SKMM dan buat pengumuman pada 1 November ini,’’

Diharapkan, kesemua pihak yang terlibat di dalam isu ini termasuklah agensi-agensi kerajaan dan syarikat-syarikat telco dapat menemui jalan penyelesaian yang terbaik demi kesejahteraan negara dalam ke arah mencapai taraf negara berpendapatan tinggi.

-Sumber berita diperoleh dari Utusan Malaysia

3 KOMEN

Tinggalkan komentar