TM hari ini telah mula mengemaskini laman web rasminya untuk Unifi dengan menempatkan ruangan baru khusus bagi pelan Unifi Basic 30Mbps. Ini selaras dengan apa yang telah dijanjikan oleh TM sewaktu sidang media yang diadakan awal minggu lepas. Melalui kemaskini di laman web rasmi ini, pengguna boleh mendapatkan lebih info berkenaan pelan terbaru ini.
Sebagaimana yang pernah dinyatakan semasa sidang media baru-baru ini, pelan ini disasarkan hanya kepada pelanggan yang berpendapatan bulanan di bawah RM 4,500. Pada harga langganan RM 79 sebulan, pelan ini menawarkan pakej internet berkelajuan 30Mbps untuk memuat turun dan 10Mbps untuk memuat naik dengan kuota bulanan yang dihadkan pada 60GB sahaja.
Berdasarkan apa yang dinyatakan oleh pihak TM melalui Soalan-Soalan Lazim dan Terma & Syarat, pemohon dikehendaki menyertakan salinan penyata gaji terkini atau dokumen sokongan yang telah disahkan oleh pihak berkuasa tempatan bagi yang bekerja sendiri.
Selain dari itu, pihak TM juga menerima salinan surat layak menerima BR1M sebagai bukti pendapatan. Permohonan perlu dilakukan melalui emel selepas pemohon menghantar borang pra-pendaftaran ke TM.













