Buat anda yang mempunyai hobi mengumpul setem, Pos Malaysia baru-baru ini telah memperkenalkan setem istimewa hasil kerjasama dengan jenama permainan terkemuka, Pokemon.

Satu set 10 keping setem bersama-sama empat poskad dan sampul cenderahati, serta tikar permainan untuk permainan kad dagangan (trading card game, TCG) Pokemon ditawarkan melalui kerjasama ini. Kesemuanya didatangkan bersama-sama di dalam poster peringatan berbentuk Poke Ball.

Untuk setem-setem berkenaan, Pokemon telah meletakkan empat dari generasi pertama, dan lima dari generasi terkini. Kesemuanya mempunyai nilai setem 60 sen yang diletakkan pada bahagian penjuru kanan atas yang biasanya mempunyai nilai HP jika di dalam permainan Pokemon TCG. Satu lagi setem pula menunjukkan rekaan belakang kad permainan tersebut.

Empat jenis Pokemon generasi pertama berkenaan merupakan Pikachu – maskot francais, serta tiga lagi Pokemon pemula dari wilayah Kanto yang sudah berevolusi iaitu Venusaur, Charizard dan Blastoise.

Manakala generasi terkini pula terdiri daripada Pokemon dari Scarlet and Violet iaitu Pokemon pemula – Sprigatito, Fuecoco dan Quaxly, serta Pokemon legenda, Koraidon dan Miraidon.

Seterusnya untuk poskad pula, Pos Malaysia menawarkan Pikachu dan juga tiga Pokemon pemula generasi kesembilan. Pikachu juga digunakan pada sampul surat set khas tersebut. Akhir sekali, dua tikar permainan untuk kad tersebut hadir dengan tema Pikachu dan Eevee.

Kesemua set ini berharga RM99 dan boleh dipra-tempah bermula dari sekarang. Anda juga boleh hadir sendiri ke reruai Pos Malaysia di Pokémon TCG Showdown 2025 di LaLaport Bukit Bintang City Centre pada hujung minggu ini atau di mana-mana 90 cawangan Biro Filateli Pos Malaysia di seluruh negara. Layari kedai dalam talian Pos Malaysia untuk membuat pembelian dan juga maklumat lanjut.

Tinggalkan komentar