POCO, sub-jenama dari Xiaomi, akan melancarkan siri POCO X7 pada 9 Januari 2025. Pelancaran ini dijangka akan memperkenalkan dua model, iaitu model asas dan model Pro. Acara pelancaran akan berlangsung pada jam 8:00 malam.

Menurut laporan, model asas POCO X7 merupakan versi penjenamaan semula dari Redmi Note 14 Pro, sementara model Pro pula adalah versi penjenamaan semula dari Redmi Turbo 4. Redmi Turbo 4 sendiri dijadualkan untuk pelancaran di China pada 2 Januari 2025. Ini menjadikan Redmi Turbo 4 peranti pertama dari Xiaomi yang dilancarkan pada tahun 2025.

Pelancaran siri POCO X7 pada 9 Januari akan diadakan di India. Buat masa ini, masih belum ada maklumat mengenai ketersediaan peranti ini di pasaran Malaysia atau tarikh pelancarannya.

Imej tertiris POCO X7 dari @passionategeekz

Terdahulu, imej-imej POCO X7 dan X7 Pro telah pun didakwa tertiris bersama-sama maklumat spesifikasinya. Untuk POCO X7, ia dikatakan akan mempunyai skrin AMOLED 6.67-inci beresolusi 1.5K 120Hz, pemprosesan MediaTek 7300-Ultra, RAM sehingga 12GB dan storan sehingga 512GB. Turut dilaporkan ia mempunyai kamera 50MP dengan zum 2X, dan kamera hadapan 20MP serta bateri berkapasiti 5,110mAh.

Imej tertiris POCO X7 Pro dari @passionategeekz

Manakala POCO X7 Pro, model ini turut mempunyai spesifikasi skrin yang hampir sama dengan perbezaan pada kadar pensampelan sentuhan 2,560 Hz. Baterinya pula mempunyai 6,000mAh dengan kadar pengecasan 90W dan kamera utama 50MP. Tiada maklumat mengenai storan, memori dan juga kameranya yang lain.

POCO meneruskan strategi mereka untuk menawarkan peranti dengan spesifikasi yang baik pada harga yang kompetitif melalui pelancaran siri telefon pintar baharu ini.

Tinggalkan komentar