POCO baru-baru ini secara rasminya telah mendedahkan telefon pintar keluaran terbarunya akan dikenali sebagai X2 dan akan dilancarkan pada 4 Februari 2020. Pengumuman ini hadir tidak lama selepas POCO menerbitkan iklan-iklan ejek (teaser) dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Baru sahaja ‘dibebaskan’ dari Xiaomi, POCO turut memaparkan serba sedikit maklumat mengenai telefon pintar keluaran akan datangnya ini, POCO X2 pada laman web rasminya. Antaranya termasuklah spesifikasi paparannya yang dinyatakan memiliki kadar segar semula (refresh rate) pada 120Hz.

POCO X2 akan turut dilengkapkan dengan cipset Qualcomm Snapdragon. Walaubagaimanapun, jenis spesifik model yang akan digunakan masih lagi belum diumumkan.

Selain itu, POCO turut menyatakan akan menggunakan penderia kamera Sony IMX686 dan juga akan mengekalkan sistem penyejukan cecair sepertimana yang telah digunakan pada POCO F1 dahulu. Kapasiti baterinya pula, dikhabarkan mempunyai 4,500mAh dan turut menyokong pengecasan pantas.

Berdasarkan maklumat-maklumat yang diperoleh, sesetengah pihak berpendapat POCO X2 mungkin adalah Redmi K30 yang dijenamakan semula. Hal ini mungkin mengambil kira Redmi K30 yang turut memiliki paparan berkadar segar semula (refresh rate) 120Hz. Apa pun, kita nantikan maklumat rasmi lanjut dari POCO dalam masa yang terdekat ini.

Sumber berita diperoleh dari Twitter POCO India

Tinggalkan komentar