POCO akan mengadakan acara pelancaran globalnya pada 19 Mei ini untuk mengumumkan telefon pintar POCO M3 Pro 5G. Acara tersebut bakal berlangsung pada jam 8 malam waktu Malaysia dan akan disiarkan secara strim melalui akaun rasmi POCO di Facebook, Twitter dan YouTube.

Menjelang acara tersebut, pihak POCO turut mengesahkan beberapa spesifikasi POCO M3 Pro 5G. Antaranya, skrinnya yang bersaiz 6.5-inci menyokong resolusi HD+ Penuh dengan kadar penyegaran semula 90Hz. Turut diperkenalkan fungsi DynamicSwitch membolehkan telefon ini mengubah kadar penyegaran semula secara automatik berdasarkan jenis kandungan.

Telefon ini menggunakan cipset 7nm dari MediaTek iatiu Dimensity 700 yang berkeupayaan 5G. Penggunaan cipset ini menandakan telefon ini akan menjadi antara telefon pintar 5G yang termurah di pasaran kelak. Selain itu, model ini juga akan menjadi telefon pintar POCO dari siri M pertama yang menyokong 5G.

Berdasarkan imej render yang pernah tertiris sebelum ini, POCO M3 Pro 5G dikatakan akan menawarkan rekaan dwi-tona warna pada permukaan belakangnya. Telefon ini juga akan ditawarkan dalam tiga pilhan warna iaitu hitam, kuning dan biru.

Terdapat juga desas-desus yang mengatakan POCO M3 Pro 5G adalah Redmi Note 10 5G yang dijenamakan semula.

Telefon pintar Redmi berkenaan turut menawarkan paparan 6.5-inci FHD+ 90Hz, cipset Dimensity 700, RAM 4GB atau 6GB, storan 64GB atau 128GB, tri-kamera dengan kamera utama 48MP dan bateri 5,000mAh yang menyokong pengecasan pantas 18W.

Tinggalkan komentar