PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan penutupan kesemua 134 lorong tambah nilai Touch N Go di seluruh negara dari 29 Ogos hingga 4 September. Tujuan penutupan ini adalah bagi melancarkan operasi di plaza-plaza tol sepanjang cuti perayaan Hari Kebangsaan dan Hari Raya Haji.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail dalam satu kenyataannya semalam memberitahu penutupan lorong tambah nilai merupakan satu keperluan bagi mencegah kesesakan lalu lintas berikutan urus niaga tambah nilai secara tunai di lorong-lorong berkenaan.

“Berdasarkan pemerhatian dan kajian kami, langkah menutup sementara semua perkhidmatan lorong tambah nilai pada musim perayaan yang lalu telah berjaya mengurangkan kesesakan di plaza tol. Justeru, kami menggunakan pendekatan sama pada musim perayaan ini dan perayaan akan datang,” jelas beliau.

Pengguna bagaimanapun mempunyai pilihan untuk membuat transaksi tambah nilai Touch N Go di Mesin Juruwang Automatik atau MJA (Automated Teller Machines, ATM), kedai-kedai serbaneka terpilih, stesen-stesen minyak dan sebagainya.

Terdahulu, PLUS pernah menutup lorong-lorong tunai di plaza-plaza tol di seluruh negara ketika perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina.

Sumber berita diperoleh dari Bernama

Tinggalkan komentar