Pertama Digital Berhad dan Pos Malaysia telah melancarkan perkhidmatan penukaran duit syiling KOCEK. Perkhidmatan tersebut kini mula ditawarkan di empat buah cawangan Pos Malaysia di sekitar Lembah Klang.
Ia disasarkan akan diperluaskan ke kira-kira 30 buah cawangan di sekitar Lembah Klang menjelang akhir tahun ini dan akan mula dikembangkan ke negeri-negeri lain secara berperingkat pada tahun 2024 dengan sejumlah 100 buah lokasi.
Acara pelancaran perkhidmatan penukaran duit syiling KOCEK yang diadakan pada hari ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan.
KOCEK sebelum ini dikenali sebagai MyPay Coin Conversion yang menawarkan pengguna menukar duit syiling kepada nilai tunai digital. Dibangunkan oleh Pertama Digital, perkhidmatan ini disasarkan untuk menggalakkan penukaran semula duit syiling yang jarang digunakan oleh rakyat Malaysia.
Menjimatkan kos menghasilkan duit syiling
Dilaporkan terdapat kira-kira sehingga 30% atau lebih dari 200 juta keping duit syiling yang dikeluarkan setiap tahun oleh Bank Negara Malaysia (BNM) tidak digunakan kerana disimpan di dalam tabung, terselit dalam laci, tertinggal dalam dashboard kereta dan sebagainya.
Menerusi perkhidmatan ini, kesemua syiling yang dikumpulkan dari pengguna akan ditukarkan ke dalam bentuk digital dan disimpan ke dalam akaun bank masing-masing. Ini seterusnya dapat mengurangkan keperluan menghasilkan duit syiling baharu disamping menjimatkan kos bank pusat.
Selain itu, para peniaga juga boleh membeli duit syiling tersebut untuk kegunaan perniagaan terutamanya melibatkan pemulangan duit baki dari transaksi secara tunai.
Kerjasama Pertama Digital dengan Pos Malaysia ini akan memudahkan akses ke perkhidmatannya di cawangan-cawangan Pos Malaysia di seluruh negara. Menurut Pertama Digital, perkhidmatan ini juga ditawarkan menerusi aplikasi mudah alih MyPay yang membolehkan komunikasi yang lebih lancar dengan agensi kerajaan terpilih.
KOCEK buat masa ini beroperasi di empat cawangan Pos Malaysia di sekitar Lembah Klang iaitu:
- Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur
- Pejabat Pos Besar Shah Alam
- Pejabat Pos Kajang 2020
- Pejabat Pos Bandar Baru Bangi
Selain dari cawangan Pos Malaysia, anda juga boleh mendapatkan perkhidmatan KOCEK di Subang Parade, Berjaya Times Square, dan NSK Trade City di Kuchai Lama.













