Apple CarPlay dan Android Auto sudah diperkenalkan kepada orang ramai sejak sekian lama. Namun tiada satu pun daripada kedua-duanya terdapat pada mana-mana kenderaan dari Perodua setakat ini. Perkara ini dijangka akan berubah seawal tahun hadapan, jika tiada aral melintang.

Menurut laporan dari Mekanika, Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Zainal Abidin Ahmad menyatakan terdapat banyak permintaan dari pelanggan yang mahukan sokongan Apple CarPlay disediakan.

Perodua mempertimbangkan untuk menyertakan Apple CarPlay menerusi model keluaran yang akan datang termasuk Alza baharu pada tahun depan. Model MPV berkenaan dilaporkan sebagai keluaran terakhir yang mana produksi terakhirnya adalah pada Januari 2022.

Sungguhpun Perodua ada menyebut Apple CarPlay, tidak dapat dipastikan sama ada Android Auto juga akan disertakan kelak pada model-model keluaran yang akan datang. Buat masa ini, masih terlalu awal untuk memastikan sama ada sokongan ini dapat disertakan pada kereta keluaran Perodua dalam masa yang terdekat ini.

Apa pun, penambahan ini merupakan sesuatu yang bagus kerana dapat membantu pengguna menggunakan telefon ketika memandu. Antara yang dimanfaatkan melalui sokongan Apple CarPlay atau Android Auto termasuklah:

  • navigasi
  • penstriman muzik
  • kebolehan menjawab telefon secara bebas tangan ketika sedang memandu

Tinggalkan komentar