Orang ramai yang ingin melakukan pergerakan di antara negeri bagi tujuan yang dibenarkan di dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu memohon menerusi aplikasi Gerak Malaysia bermula 26 April 2020.
Permohonan secara dalam talian ini boleh dibuat bagi mereka yang layak. Ini adalah susulan dari kebenaran pergerakan tersebut untuk tempoh tiga hari bermula 1 hingga 3 Mei 2020.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, bagi yang tiada aplikasi Gerak Malaysia, permohonan bertulis di balai polis berhampiran perlu dibuat untuk mendapatkan kebenaran perjalanan.
Keutamaan perjalanan bagaimanapun akan diberikan kepada pengguna aplikasi Gerak Malaysia.
Tambah beliau lagi:
“Bagi yang membuat permohonan menerusi aplikasi Gerak Malaysia pada 26 April (esok), mereka perlu mengemas kini permohonan pada 29 April untuk mengesahkan destinasi perjalanan. Semakan status permohonan itu boleh dibuat pada 1 Mei juga melalui dalam talian,”
Sepanjang tempoh 1 hingga 3 Mei tersebut, pengguna jalan raya dikehendaki merancang perjalanan mengikut syarat ditetapkan.
Tiada kemudahan makanan disediakan di R&R
Menurut beliau, hanya fasiliti tandas awam sahaja yang dibenarkan beroperasi manakala kawasan meletak kenderaan hanya dibenarkan untuk tujuan rehat.
Pengguna lebuh raya tidak dibenarkan keluar daripada kenderaan semasa dalam tempoh rehat kecuali untuk menggunakan tandas awam.
“Bagi mereka yang mengguna Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) diingatkan bahawa tiada sebarang kemudahan makanan disediakan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R).
Surau akan ditutup dan sebarang aktiviti solat berjemaah di R&R tidak dibenarkan termasuklah di dalam mana-mana bangunan, kawasan lapang, tempat letak kenderaan dan lain-lain,
Stesen minyak hanya akan beroperasi antara 6.00 pagi sehingga 12 tengah malam di sepanjang lebuh raya dan dilarang melakukan sebarang aktiviti secara berkumpulan dalam tempoh perjalanan.
Satu kenyataan media berhubung tatacara pendaftaran aplikasi Gerak Malaysia akan dikeluarkan pada hari ini dan diikuti dengan sidang media pada 29 April mengenai pergerakan mengikut negeri bagi memastikan perjalanan mereka lancar dan teratur,”
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu baru-baru ini mengumumkan orang ramai yang berada di kampung halaman masing-masing sebelum tempoh PKP dan ingin pulang ke rumah dibenarkan membuatkan permohonan.
Pendaftaran dan permohonan kepada pihak polis wajib dibuat oleh setiap keluarga secara dalam talian bagi membolehkan pihak berkuasa membuat perancangan.
Pengguna juga diingatkan bahawa aplikasi ini bukannya untuk membuat permohonan balik kampung. Ianya bertujuan untuk memberi peluang kepada mereka yang berada di kampung semasa cuti sekolah sebelum PKP, pulang ke kediaman.
Aplikasi Gerak Malaysia boleh dimuat turun menerusi Google Play Store dan Apple App Store.













