Maxis bakal melancarkan satu lagi perkhidmatan prabayar yang dikenali sebagai Ookyo. Laman web rasmi berkenaan perkhidmatan prabayar ini juga kini sudah pun boleh dilayari. Telco yang pernah memperkenalkan Hotlink ini menawarkan data tanpa had bagi penggunaan sesetengah aplikasi tertentu melalui perkhidmatan prabayar Ookyo.

Antara aplikasi-aplikasi mudah alih yang menerima penggunaan data tanpa had (Social Pack) ini termasuklah Facebook Messenger, WeChat, Instagram, Kakao Talk, Line, Pinterest, Whatsapp, Twitter, Snapchat dan juga Facebook. Manakala bagi Entertainment Pack pula, pengguna boleh menggunakan data tanpa had bagi aplikasi-aplikasi berikut – Spotify, WeChat, Musical.ly, Bigo Live, Smule, Line, Joox, Facebook Messenger, 9gag, Whatsapp, dan juga Shazam.

Sekali imbas, nampak macam senang guna pakej perkhidmatan prabayar Ookyo ni. Tapi sebenarnya ia agak rumit juga untuk menggunakan data ‘tanpa had’nya tu. Misalnya, untuk menggunakan akses tanpa had pada aplikasi-aplikasi tertentu, pengguna boleh memperolehnya apabila menjalankan aplikasi Ookyo. Pengguna juga perlu menjalankan aplikasi Ookyo sebagai VPN pada peranti.

Ini bermakna, aplikasi Ookyo perlu berjalan secara berterusan pada peranti jika pengguna benar-benar ingin menggunakan pelan data tanpa had berkenaan. Jika tidak, data akan ditarik dari kuota 3GB yang disediakan untuk pakej yang dilanggan. Untuk tethering pula, pengguna perlu terlebih menutup VPN melalui tetapan telefon masing-masing.

Oleh kerana Google Play banyak berintegrasi dengan perkhidmatan ini, tidak menghairankan jika Ookyo hanya ditujukan kepada pengguna-pengguna Android buat masa ini. Malah, perkhidmatan ini turut menggunakan dua jenis dompet elektronik –  satu Google Play dan satu lagi Ookyo.

Seperkara lagi yang membezakan perkhidmatan prabayar ini adalah ianya diuruskan secara digital 100 peratus. Menurut laman webnya, perkhidmatan ini tidak mempunyai kedai jualan secara fizikal dan segala urus niaga dengan pelanggan dijalankan secara atas talian. Sampaikan nombor talian khidmat bantuan juga tidak disediakan.

Untuk mendaftar dengan Ookyo, pengguna boleh mendaftarkannya secara atas talian dan pelanggan perlu menyediakan kad kredit atau kad debit (Mastercard atau Visa). Ini kerana perkhidmatan ini tidak menerima bayaran secara wang tunai dan perbankan atas talian. Sebaik sahaja berjaya mendaftar, kad SIM akan dihantar kepada pengguna melalui kurier. Khidmat penghantaran hanya terhad untuk pelanggan di Semenanjung Malaysia sahaja buat masa ini.

Sumber berita diperoleh dari Laman Rasmi Ookyo

Tinggalkan komentar