Kerajaan negeri Perak akan melarang pemasangan menara pemancar telekomunikasi di atas bangunan tidak lama lagi. Perkara ini diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Maklumat Negeri, Encik Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim.
Menurut laporan dari Bernama, penguatkuasaan ini dibuat bagi membendung aktiviti pemasangan menara pemancar secara haram di seluruh negeri.
Pada tahun 2017, dilaporkan sebanyak 2,800 menara pemancar telekomunikasi telah dipasang tanpa kebenaran kerajaan negeri oleh sebuah syarikat telekomunikasi yang tidak dinamakan.
Kegiatan ini telah menyebabkan kerugian jutaan ringgit setiap tahun kerana tindakan syarikat-syarikat telekomunikasi ini yang mengelak untuk membayar permit kepada kerajaan negeri.
Walaupun tidak menyatakan garis masa pelaksanaannya, Encik Hasnul memaklumkan kerajaan negeri Perak akan meminta syarikat telekomunikasi supaya membina menara mereka di atas tanah secara serta-merta. Buat masa ini, kami tidak dipastikan bagaimana arahan terbaru ini akan memberi kesan terhadap liputan telekomunikasi di Perak di masa akan datang.
Sumber berita diperoleh dari Bernama













