Sekumpulan penyelidik telah berjaya mempatenkan rekaan bateri solid state dan langkah seterusnya adalah mendapatkan pengeluar yang mampu menghasilkannya untuk dipasarkan.
Salah seorang individu yang mencipta bateri lithium-ion yang digunakan oleh laptop, telefon pintar dan tablet yang kita gunakan hari ini telah mengumumkan kehadiran teknologi bateri generasi berikutnya: bateri solid state yang menawarkan ketumpatan tiga kali ganda berbanding bateri yang biasa digunakan pada hari ini, serta lebih selamat.
John Goodenough, pemenang anugerah Fermi yang menemukan bahan lithium kobalt oksida yang digunakan sebagai katod pada bateri Li-ion telah menjalinkan kerjasama dengan Maria Helena Braga untuk membangunkan sejenis bateri yang menggunakan kaca tumpat sebagai elektrolit. Untuk makluman, bateri yang dibangunkan ini bukanlah bateri solid state pertama. Samsung dan MIT terlebih dahulu telah membangunkan teknologi bateri terbaru berkenaan pada tahun lepas.
Kumpulan penyelidik ini menyatakan bateri solid state ini dapat menyelesaikan beberapa masalah berkaitan bateri Li-ion, terutamanya hal berkaitan keselamatan. Sebagai contoh, Samsung sebelum ini terpaksa untuk memanggil semula kesemua Galaxy Note 7 disebabkan masalah baterinya yang mudah terbakar.
Litar pintas yang berlaku pada bateri Note 7 ini didakwa berpunca dari kesilapan ketika proses pengeluarannya. Selain itu terdapat juga masalah lain yang boleh menyebabkan kebakaran seperti pembentukan lapisan logam yang digelar sebagai “dendrites”. Ia terbentuk hingga mampu menembusi penghadang elektrolit yang mengasingkan bahagian katod dan anod bateri. Oleh yang demikian, penghasilan bateri berasaskan solid state ini mampu mencegah pembentukan “dendrites” ini.
Berdasarkan ujian-ujian yang telah dijalankan, bateri yang berasaskan solid state ini mempunyai ketumpatan tenaga hampir tiga kali ganda berbanding bateri konvensional lithium-ion. Ini sangat penting kerana secara teorinya bateri ini mampu menyimpan tenaga tiga kali ganda pada saiz yang sama. Penyelidik berkenaan turut mendakwa bateri jenis ini mampu digunakan sehingga lebih dari 1,200 kitaran dengan kerintangan sel yang rendah. Sel-sel ini juga mampu dioperasikan pada suhu -20 darjah selsius.
Perkembangan ini menjanjikan perubahan terbaru dalam teknologi penghasilan bateri peranti mudah alih yang selama ini dilihat terlalu perlahan berbanding perkembangan teknologi pada perkakasan peranti mudah alih lainnya.














