Apple kini akhirnya telah pun mendedahkan perkhidmatan langganan penstriman video keluarannya sendiri, Apple TV+. Perkhidmatan ini diumumkan bersama-sama perkhidmatan baru lain yang diperkenalkan oleh Apple iaitu Apple Arcade, Apple News+ dan Apple Card.
Menurut pihak Apple, Apple TV+ merupakan “ruang baru untuk penceritaan paling kreatif di dunia”. Kenyataan ini berdasarkan senarai personaliti-personaliti yang telah bekerjasama menyediakan kandungan asli untuk perkhidmatan langganan penstriman video terbaru ini.
Antara personaliti yang dimaksudkan termasuklah Steven Spielberg, J.J Abrams, M.Night Shyamalan, Ron Howard, Jon M. Chu, Sofia Coppola, Damien Chazelle, Jennifer Aniston, Reese Witherspoon, Steve Carrell, Jason Momoa, Kumail Nanjiani, Hailee Steinfeld, Sara Bareilles, dan ramai lagi.
Tidak ketinggalan, Sesame Street dan Oprah Winfrey juga akan mempunyai rancangannya sendiri di dalam Apple TV+.
Oleh kerana perkhidmatan ini adalah berdasarkan langganan dari pengguna, Apple memaklumkan bahawa rancangan-rancangan yang disediakan melalui perkhidmatan ini tidak akan menyiarkan iklan. Selain itu, setiap pelanggan boleh berkongsikan langganannya kepada sehingga enam orang untuk sebuah keluarga melalui fungsi Family Sharing.
https://www.youtube.com/watch?v=Bt5k5Ix_wS8
Apple setakat ini tidak mendedahkan harga langganan dan juga tarikh sebenar pelancarannya. Bagaimanapun, Apple menyatakan Apple TV+ bakal menemui pelanggannya di lebih 100 buah negara melalui aplikasi Apple TV dalam tahun ini juga.













