Pengasas Xiaomi, Encik Lei Jun telah menyatakan sasaran syarikatnya selaku peneraju pasaran telefon pintar premium global. Beliau yang merupakan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Xiaomi turut menetapkan Apple sebagai penanda aras bagi produk dan perkhidmatan yang akan ditawarkannya kelak.

Tumpuan akan diberikan terhadap segmen telefon pintar premium di mana Apple menguasai sebahagian besar pasaran selepas kemerosotan penguasaan Huawei.

Beliau turut menyamakan saingan di dalam segmen telefon pintar berkenaan sebagai ‘pertarungan antara hidup dan mati. Apple masih lagi menerajui segmen premium di dalam pasaran telefon pintar global.

Buat masa ini pengeluar-pengeluar telefon pintar dari China mendapati terdapat kelompongan besar di dalam pasaran yang telah ditinggalkan oleh Huawei. Untuk itu, salah satu sasaran strategik Xiaomi adalah menjadi pengeluar telefon pintar terbesar di dunia menjelang 2025.

Selepas kemerosotan Huawei, Xiaomi mula mengambil alih kedudukan utama pengeluar telefon pintar sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Selain mendahului di pasaran China, pengeluar barangan elektronik ini juga telah mula menguasai pasaran di peringkat global.

Tinggalkan komentar