Maxis secara rasminya telah melancarkan pelan internet dan panggilan tanpa had, Hotlink Prepaid Unlimited baharu hari ini. Syarikat telekomunikasi ini juga turut memperkenalkan pelan Hotlink Prepaid yang dikhususkan untuk penstriman video.

Pelan Hotlink Tanpa Had menyediakan data internet dan panggilan tanpa had pada harga RM35 sebulan dengan kelajuan dihadkan pada 3Mbps. Para pelanggan juga boleh menaikkan tahap kelajuannya kepada 6Mbps dengan memilih pelan RM45 sebulan.

Selain itu, pengguna juga boleh mendapatkan pas tanpa had harian dan mingguan dengan had kelajuan yang sama iaitu 3Mbps. Untuk menggunakan hotspot pula, pengguna perlu mendapatkan pas berlainan yang pada masa yang sama akan membuang sekatan had kelajuan. Bagaimanapun, pas hotspot harian dan mingguan tanpa had laju ini mempunyai had kuota. Boleh rujuk pada jadual seperti di bawah.

Maxis juga telah menjenamakan semula pek Hotlink SUPERRR kepada pelan Hotlink Prepaid Video. Pelan ini tidak mempunyai sekatan had kelajuan, tetapi mempunyai had data kuota 10GB untuk perkhidmatan video terpilih seperti YouTube, iflix, Viu, Tonton, dan Astro GO.

Pengguna Hotlink Prepaid Video turut menerima kuota video tambahan dua kali ganda dari kuota data kegunaan umum yang diperuntukan. Misalnya, jika anda memilih pas bulan RM25 yang didatangkan dengan kuota data umum 4GB, anda akan menerima tambahan kuota video sebanyak 8GB secara pecuma. Oleh itu, anda akan menerima keseluruhan kuota data video sebanyak 18GB jika anda memilih pas bulanan RM25.

Menurut Hotlink, kuota data video percuma ini akan digunakan dahulu sebelum kuota data 10GB pelan Hotlink Prepaid Video yang disediakan digunakan.

Kedua-dua pek Hotlink Prepaid Unlimited dan Hotlink Prepaid Video kini boleh didapati di seluruh kedai Maxis Store, wakil penjual Hotlink dan kedai-kedai runcit di seluruh negara.

Tinggalkan komentar