KUALA LUMPUR, 27 Februari 2025 – Malaysia telah mencapai rekod pelaburan digital sebanyak RM163.6 bilion pada tahun 2024, meningkat ketara berbanding RM46.8 bilion pada tahun 2023. Peningkatan ini didorong oleh beberapa faktor utama, termasuk kerajaan yang stabil, dasar mesra perniagaan, infrastruktur yang kukuh, perkongsian strategik antara sektor awam dan swasta, rangka kerja kawal selia yang menyokong, serta fokus Malaysia terhadap AI dan pengkomputeran kuantum.
Pertumbuhan ini juga didorong oleh keyakinan pelabur asing yang kukuh, dengan pelaburan utama dari Singapura, Amerika Syarikat, China, Australia, dan India. Pelaburan langsung domestik (DDI) juga terus meningkat, disokong oleh inisiatif MDEC.
Pelaburan ini melibatkan seluruh negeri dengan Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang, Sabah, dan Sarawak menjadi lima negeri teratas.
Pusat data dan infrastruktur awanan menyumbang sebanyak 76.8% daripada jumlah pelaburan digital yang diluluskan pada tahun 2024.
Untuk memacu pertumbuhan selanjutnya dalam sektor ini, sebuah Pasukan Petugas Pusat Data telah ditubuhkan untuk memastikan kemampanan. MDEC menyasarkan untuk mencapai pertumbuhan pelaburan sebanyak 5% pada tahun 2025.
MDEC bekerjasama rapat dengan MIDA dan agensi kerajaan lain untuk menarik pelaburan strategik dan memastikan usaha yang diselaraskan untuk memacu inovasi dan pertumbuhan digital. Usaha ini selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).













