Microsoft dilaporkan sedang menguji ‘watermark’ pada desktop yang akan muncul pada desktop pengguna Windows 11 yang menggunakan perkakasan yang tidak menepati keperluan rasminya. Kehadiran ‘watermark’ tersebut pertama kali diketemukan menerusi binaan pratonton yang diedarkan kepada Windows Insiders.

‘Watermark’ tersebut boleh dilihat pada bahagian penjuru kanan sebelah bawah. Ia mirip dengan ‘watermark’ “Activate Windows” yang biasanya muncul pada Windows yang tidak mempunyai lesen yang sah, cuma bezanya saiznya sedikit kecil. Notifikasi ini juga muncul pada komputer mesin maya (virtual machines).

Sungguhpun ciri ‘watermark’ ini masih lagi diperingkat pengujian, sesetengah pengguna Windows Insiders berpendapat langkah ini mungkin salah satu usaha Microsoft untuk menggalakkan penggunanya menaik taraf sistem mengikut keperluan spesifikasi yang terkini.

Sejak pelancarannya pada Oktober 2021, pendirian Microsoft mengenai keperluan sistem Windows 11 dilihat tidak begitu jelas.

Pada awalnya, keperluan asasnya menetapkan perlu sekurang-kurangnya mempunyai CPU 64-bit dwi-teras pada 1.0GHz, RAM 4GB, storan 64GB, paparan 9-inci 720p, dan GPU menyokong DirectX12 dan WDDM 2.0. Paling ditekankan bagi keperluan sistem tersebut adalah sokongan TPM 2.0 di dalam sistem berkenaan.

Tinggalkan komentar