Tidak berapa lama selepas menerbitkan Windows 11 versi pratonton menerusi program Windows Insider, Microsoft telah membuat keputusan menarik semula aplikasi PC Health Tool dari kegunaan umum.

Aplikasi ini diterbitkan pada hari yang sama pengumuman sistem operasi baharu dari Microsoft berkenaan. Pada asalnya, ia bertujuan membantu pengguna membuat semakan sama ada komputer yang digunakan boleh menyokong Windows 11 atau tidak.

Bagaimanapun, versi pertama aplikasi berkenaan dikritik sebahagian pengguna kerana dianggap memberikan keputusan yang kurang tepat mengenai keperluan sistem.

Antara puncanya adalah PC Health Check tidak memberitahu dengan lebih lanjut mengapa sesebuah komputer berkenaan tidak boleh menjalankan Windows 11. Microsoft tidak berapa lama kemudian mengemaskini aplikasi berkenaan dengan memberikan lebih banyak maklumat berkaitan seperti CPU yang disokong dan cip TPM 2.0.

Apa pun, Microsoft cakna dengan maklumbalas dari pengguna tentang maklumat yang diberikan oleh PC Health Check masih lagi cukup tepat atau terperinci. Pihak syarikat juga tidak memberitahu tarikh aplikasi ini akan diterbitkan semula dan hanya menyatakan ianya akan muncul semula menjelang tarikh pelancaran Windows 11 hujung tahun ini.

Tinggalkan komentar