Sudah agak lama Maxis tidak mengemaskini penawaran pelan pascabayar mudah alihnya. Sesuai dengan peredaran semasa, Maxis telah menawarkan penambahan data sebanyak 10GB untuk semua pelan pascabayarnya.

Pelan Maxis Postpaid 98 (RM98 sebulan) kini ditawarkan dengan data sebanyak 50GB. Manakala Maxis Postpaid 188 (RM188 sebulan) pula menyediakan data sebanyak 110GB sebulan.

Pelan-pelan ini masih lagi menawarkan panggilan dan SMS tanpa had. Bagaimanapun, kuota data untuk talian tambahan Maxis Postpaid Share 48 masih lagi kekal dengan kuota data sebanyak 30GB.Kuota Baharu Maxis Postpaid

Kali terakhir Maxis mengemaskini penawaran pascabayarnya adalah pada Jun 2020. Ketika itu, Maxis telah menamatkan pecahan data mingguan dan hujung minggu pada semua pelannya dan menawarkan data tambahan antara 10 hingga 40GB.

Bagi pelanggan pelan pukal pascabayar dan jalur lebar fiber atau Maxis Family Plan, perubahan ini tidak memberikan sebarang kesan. Ini kerana talian sedia ada sememangnya menyediakan data tanpa had.

Menurut laman soalan lazimnya, penambahan kuota data ini ditawarkan bermula dari 20 Januari 2022 dan akan turut melibatkan talian-talian baharu didaftarkan. Pelanggan sedia ada akan dinaiktaraf secara berperingkat di antara 20 Januari hingga 4 Februari 2022 dan akan dimaklumkan melalui SMS selepas naik taraf selesai dilakukan.

Tinggalkan komentar