Rapid KL telah mengumumkan jualan pas perjalanan My50 dan MyCity kini boleh dibuat secara dalam talian menerusi aplikasi mudah alih MyRapid PULSE dan kedai dalam talian rasminya.
Harga jualannya sama seperti pembelian di kaunter dan pengguna perlu mengaktifkan pas berkenaan di kaunter-kaunter selepas pembelian dibuat.
Pas My50 dan pas MyCity 1-Hari dan 3-Hari hanya dijual kepada rakyat Malaysia sahaja dan pembeli perlu menunjukkan MyKad bersama-sama resit pembelian bagi tujuan pengaktifan di kaunter Rapid KL. Pengguna juga perlu mengaktifkan pas berkenaan dalam tempoh 30 hari selepas pembelian.
MyKad pengguna pas ini juga perlu mempunyai nilai minima RM6 untuk membolehkan perkhidmatan Rapid KL dapat digunakan. Caj isian semula RM0.50 juga akan dikenakan apabila pengguna mengaktifkan pas tersebut walaupun membuat pembelian secara dalam talian.













