Pasang komputer desktop sendiri sememangnya perkara yang menyeronokkan bagi pencinta-pencinta PC. Umpama bermain Lego, pencinta PC memperoleh kepuasan yang tersendiri tatkala berjaya memasang komponen perkakasan sehingga boleh dihidupkan.

Perkara asas yang perlu diketahui di dalam kerja pasang komputer desktop sendiri adalah faktor kesesuaian perkakasan dan ia amat bergantung kepada jenis CPU yang dipilih. Unit Pemprosesan Pusat (Central Processing Unit, CPU) boleh diibaratkan sebagai jantung kepada sistem komputer.

Kenal jenis CPU

Sebelum ini, penentuan prestasi CPU boleh dilakukan dengan hanya menilai pada tahap kelajuan dan jumlah terasnya. Tetapi, pada hari ini untuk menentukan prestasi sesebuah CPU, ia menjadi sukar oleh kerana terdapat sesetengah CPU memiliki komponen pemprosesan grafik yang tinggi. Manakala terdapat sesetengahnya pula mampu menguruskan jalur (thread) lebih daripada satu pada setiap teras. Justeru, penilaian sesebuah CPU menjadi sukar untuk mengimbanginya dengan kehendak pengguna. Lagipun nisbah prestasi CPU kepada kadar klok hanya boleh dinilai dikalangan CPU-CPU di dalam generasi yang sama sahaja.

Untuk memudahkan pembahagian jenis-jenis CPU, kita bahagikannya mengikut jenama CPU komputer desktop yang paling popular di kalangan pengguna yang biasa buat pasang komputer sendiri, AMD dan Intel. Jika anda menggunakan CPU Intel, anda perlu mendapatkan papan induk yang sesuai untuk CPU Intel dan begitu juga sebaliknya untuk AMD. AMD takkan ‘ngam’ dengan board Intel dan Intel pula tak boleh ‘ngam’ dengan AMD.

AMD: Prestasi terbaik pada harga mampu milik

Di antara kedua-dua pengeluar pemprosesan untuk komputer peribadi, penguasaan AMD di dalam pasaran adalah lebih kecil berbanding Intel di mana AMD hanya menguasai 26 peratus pasaran CPU. Walaupun ia tidak mampu menyaingi Intel dari segi prestasi dan kecekapan tenaga, pemproses AMD paling power kosnya adalah 40% lebih rendah berbanding harga yang ditawarkan oleh Intel untuk pemprosesan yang hampir setara. Selain itu, papan induk untuk AMD adalah lebih murah harganya.AMD

PERINGKAT ASAS: AMD menawarkan pilihan CPU yang lebih menarik kepada pengguna yang inginkan PC untuk kegunaan asas. Selain itu, terdapat juga pilihan model CPU, Sempron 3850 Quad Core pada harga serendah RM159. Tarikan utama CPU AMD versi peringkat asas ini adalah dari segi keupayaan grafiknya yang mampu menyokong paparan video HD. Dari satu sudut, ia sudah menjimatkan kos pembelian kad grafik. Namun begitu, secara asasnya CPU peringkat ini direkabentuk untuk menjalankan kerja-kerja yang mudah dan bukan untuk penjanaan grafik yang berat.

PERINGKAT PERTENGAHAN: CPU AMD versi A-Series menggunakan soket FM2 meletakkan bahagian kecil CPUnya bersebelahan dengan teras grafik yang berkuasa tinggi. Prestasi pemprosesan CPU peringkat ini adalah setara dengan CPU Intel peringkat asas. Cuma, kelebihan yang terdapat pada AMD terletak pada keupayaan grafik binaan dalamannya yang lebih baik. Kelebihan ini membolehkan ia memainkan video dengan lebih lancar, memberikan kesan grafik yang lebih cantik pada desktop serta masih lagi mampu memainkan permainan komputer yang not-so-outdated. Model terbaik AMD untuk CPU peringkat ini adalah A8 6600K Black Edition bagi soket FM2.

PERINGKAT TINGGI: Siri FX yang boleh digunakan pada soket AM3+ adalah pemproses desktop paling power keluaran AMD. Ia dibina sama ada dengan 2 atau 4 modul di mana setiap satunya boleh menjalankan kerja-kerja operasi komputer (computation). Kuasa pemprosesannya mampu memainkan apa sahaja jenis permainan komputer masa kini. Namun, penggunaan tenaganya pada tahap optimum adalah 60% lebih tinggi berbanding pesaingnya dari Intel. Model terbaik peringkat ini FX-8350, mampu memenuhi kehendak aplikasi sistem yang lebih berat.

Memahami makna nama CPU : AMD

Nama-nama CPU yang ditulis secara kriptik, sama ada untuk A-Series (peringkat pertengahan) mahupun FX-Series (peringkat tinggi), memberikan makna secara langsung terhadap prestasinya.

Makna Nama AMD A Series

Makna Nama AMD FX Series

Intel: Kecekapan tertinggi Prestasi terbaik

Peneraju utama pasaran CPU, Intel memiliki julat pilihan CPU yang banyak mengikut keperluan pengguna. Celeron adalah kelas CPU yang paling asas dan paling murah, tetapi kelas Pentium adalah pilihan yang lebih berbaloi berdasarkan nisbah nilai harga dan prestasinya. Sebagai perbandingan, model terbaik Intel, i7-3960X adalah 30 hingga 40 peratus lebih baik dari segi prestasi berbanding model terbaik AMD, FX-8150. Cuma harganya pastilah lebih mahal, di mana model terbaik Intel berkenaan adalah lima kali lebih mahal berbanding pesaingnya. Walaubagaimanpun, jikalau anda inginkan prestasi terbaik yang tiada tolok bandingnya, Intel adalah jawaban bagi anda. Kelebihan yang ada pada CPU Intel termasuklah dari segi kecekapan tenaganya – pemproses Ivy Bridge yang terbaru dibina pada skala 22 nanometer, secara tidak langsung senibinanya adalah lebih kecil berbanding binaan AMD. Hasilan ini membawa kepada pengurangan penggunaan tenaga sebanyak 30 peratus tanpa sebarang pengurangan kesan terhadap prestasinya. Pada masa yang sama, senibina yang lebih kecil membawa kepada penghasilan haba yang kurang serta mengurangkan bunyi bising dari kipas processor.

Logo-Intel

PERINGKAT ASAS: Jika anda ingin membina sebuah PC asas yang boleh dinaiktaraf pada kemudian hari, pilihan terbaik anda adalah CPU Intel yang menggunakan soket 1150. Pemilihan soket 1150 adalah berdasarkan kepada aneka pilihan yang ada pada CPU-CPU yang dibina untuk soket 1150. Untuk permulaan, anda boleh mula membina dengan menggunakan Pentium G3260 yang memiliki dwi-teras pada kelajuan 3.30 Ghz. Keperluan CPU sebegini sudah memadai untuk mejalankan kerja-kerja ringkas disamping ia boleh disesuaikan dengan penambahan kad grafik. Permainan komputer yang ringkas juga masih boleh disokong pada CPU Intel peringkat ini. Jika anda mahukan kuasa pemprosesan yang lebih baik, anda boleh sahaja menukarkan ke CPU peringkat pertengahan atau peringkat atas tanpa perlu menukarkan papan induk. CPU terbaik peringkat asas ini adalah Intel Core i3 yang mempunyai dwi-teras. Ia pemproses yang baik, namun harganya boleh dikirakan sangat tinggi berbanding pemproses-pemproses lain yang sama kelasnya. Jika anda mempunyai bajet yang terhad, berbanding menaiktaraf ke Intel Core i3, adalah lebih baik menukarkan cakera keras anda ke SSD, di mana prestasi PC yang menggunakan SSD adalah lebih baik berbanding menggunakan Intel Core i3.

Pemproses Intel versi Ivy Bridge dibina menggunakan teknologi 22 nanometer, dimana penggunaaan tenaganya 30 peratus lebih rendah. Justeru, ia boleh berfungsi dengan baik walaupun sistem penyejukannya menggunakan kipas yang kecil dan senyap.
Pemproses Intel versi Ivy Bridge dibina menggunakan teknologi 22 nanometer, dimana penggunaaan tenaganya 30 peratus lebih rendah dari generasi kedua Sandy Bridge. Justeru, ia boleh berfungsi dengan baik walaupun sistem penyejukannya menggunakan kipas yang kecil dan senyap.

PERINGKAT PERTENGAHAN: Intel Core i5 dari siri Skylake adalah processor terbaik untuk peringkat ini. Ia juga dilengkapi dengan komponen grafik yang membolehkan kerja-kerja pemprosesan video dilakukan dengan lebih baik. Siri i5 ini adalah pengguna tenaga yang cekap untuk memberikannya prestasi yang terbaik. Pemproses i5 yang menggunakan Skylake boleh dikenalpasti melalui namanya yang menggunakan 4 digit dimana pada kebiasaannya bermula dengan angka 3. CPU yang terbaik pada kelas i5 ini adalah Intel Core i5-6600K, di mana ia agak slow sedikit berbanding siri Core i7 yang gila mahal tu. Kelebihannya berbanding siri i5 lain adalah terletak pada komponen grafiknya berkuasa tinggi, Intel® HD Graphics 530. Pemprosesan Intel dari generasi Haswell sudah mula menunjukkan kemajuan dalam kecekapan penggunaan tenanga. Malah memiliki rekaan thermal design power (TDP) yang jauh lebih baik dari generasi-generasi Intel yang terdahulu sebelum Sandy Bridge.

PERINGKAT ATAS: Intel Core i7-6700K adalah pemproses pantas bagi siri i7 yang menggunakan soket 1151. Ia juga adalah pemproses yang dikategorikan sebagai mahal namun dikirakan paling berbaloi jika dibuat perbandingan nisbah antara harga dan prestasinya. Pada masa yang sama terdapat jenis yang menggunakan soket 2011 dimana ianya menggunakan papan induk yang lebih mahal harganya. Model paling murah yang menggunakan soket 2011, i7-5820, memiliki kelajuan klok yang rendah berbanding 6700K pada 3.30 GHz. Namun memiliki cache yang lebih besar pada 15MB.

Memahami makna nama CPU Intel

Intel turut menamakan setiap keluaran CPU mengikut tahap dan kelasnya seterusnya memberikan maklumat lanjut berkenaan spesifikasinya

Makna Nama Intel

Jenis-jenis Soket untuk CPU yang berlainan, AMD dan Intel

Untuk belajar pasang komputer sendiri ni, anda juga perlu tahu jenis soket apa yang pemproses anda boleh sokong. Setiap generasi CPU mengalami perubahan dari segi saiz, tata letak susunannya, dan juga keperluan tenaganya. Untuk itu, terdapat pelbagai jenis soket untuk setiap famili CPU baik untuk AMD mahupun Intel. Perbezaan ketara antara kedua jenis soket AMD dan Intel adalah dari segi susunan pinnya. AMD menggunakan susunan Pin Grid Array (PGA), di mana pin-pinnya terletak pada CPU. Manakala bagi Intel pula, susunan menggunakan kaedah Land Grid Array (LGA) yang pin-pinnya terletak pada soket papan induk. Bagaimanapun, bukan semua CPU keluaran AMD menggunakan PGA. Terdapat CPU-CPU AMD yang menggunakan LGA seperti Soket F, Soket C32 (yang menggantikan Soket F) dan Soket G34.

AMD

Soket FM1 AMD (PGA)
Soket FM1 AMD (PGA)

Untuk soket FM1 ini, northbridge tidak diletakkan pada papan induk, sebaliknya ia diintegrasikan bersama di dalam binaan CPU terbabit.

Soket AM3+ AMD
Soket AM3+ AMD (PGA)

Pemproses FX yang terbaru masih lagi boleh digunakan pada papan induk yang menggunakan soket AM3. Namun begitu, hanya papan induk AM3+ dapat menggunakan kuasa pemprosesan FX pada peringkat terulung.

Intel

Soket 1155 Intel (LGA)
Soket 1155 Intel (LGA)

Soket 1155 yang terkini boleh digunapakai pada banyak model-model CPU Intel tetapi ia tidak boleh digunakan untuk model CPU yang menggunakan soket 1156. Ini diakibatkan oleh perbezaan sedikit yang membezakan dia antara kedua jenis soket terbabit.

Intel Socket 1156
Soket 1156 Intel (LGA)

Intel membangunkan soket 1156 untuk digunapakai oleh CPU-CPU teras i3 dan i5 versi yang pertama. Malangnya ia tidak lagi sesuai digunakan untuk soket 1155 yang lebih baru.

Mengenal Jenis Papan Induk

Pantang kalau bercerita tentang pasang komputer desktop tanpa bercerita tentang papan induknya. Pemilihan papan induk perlu diambil perhatian terhadap jenis chipset dan jenis soketnya di dalam penentuan terhadap prestasi dan ciri-cirinya. Tidak lupa juga, tentukan juga sama ada papan induk itu menyokong pemprosesan AMD atau Intel.Papan Induk

AMD

AMD telah mengintegrasikan antaramuka USB 3.0 pada chipsetnya. Namun demikian, perlu diambil perhatian terhadap jenis-jenis papan induk AMD yang ada di pasaran Malaysia pada masa ini hanya menawarkan penggunaan memori jenis DDR3 sahaja dan masih lagi belum ada yang menyokong DDR4.

AMD SOCKET AM1 / FM2: Papan induk berasaskan AMD peringkat ini menggunakan chipset A55, A85, A88, A68 dan A78 bersesuaian dengan processor dari kelas A4 hingga A8. Harga yang ditawarkan untuk papan induk ini adalah dari RM 200 untuk chipset A55, hinggalah RM 575 bagi yang menggunakan chipset A88. Pada masa ini, kesemua papan induk AMD yang dijual di pasaran semasa menggunakan memori DDR3.

AMD SOCKET AM3 / AM3+:Untuk pemprosesan AM3 dan AMD3+ saya mengesyorkan papan induk yang dilengkapi dengan chipset AMD 760G, AMD970, AMD 990 dan AMD 990FX. Buat masa ini, papan induk berchipset AMD 760G dijual pada harga dari RM189. Manakala papan induk dengan chipset AMD 990FX pula mampu mencecah RM 1119 dengan kemampuan mengawal sehingga 4 kad grafik. Namun, kelebihan ini hanya untuk segelintir pengguna sahaja. Lagipun, tidak ramai para gamers yang main menggunakan paparan 4 bijik monitor serentak.

Intel

Sesetengah pengeluar masih lagi menawarkan papan induk untuk pemprosesan Intel generasi terdahulu termasuk generasi kedua Sandy Bridge di pasaran. Disebabkan penguasaan Intel di dalam pasaran komputer desktop dan laptop masih lagi yang terunggul, pelbagai rangkuman chipset Intel dijual di pasaran.

Intel Socket 1155 (Sandy Bridge, Ivy Bridge – Core i3, i5, i7): Tidak banyak model papan induk yang ditawarkan untuk pemprosesan generasi kedua dan ketiga Intel ini. Chipset yang digunakan bagi papan induk jenis ini adalah H61. Slot memori yang disokong hanyalah untuk DDR3 sahaja, namun ia adalah amat memadai bagi pengguna yang mementingkan bajet. Harga yang paling rendah ditawarkan untuk papan induk dengan soket 1155 ini adalah RM 229, papan induk keluaran MSI, MS-7788 H61M-P31.

Intel Socket 1150 (Haswell Core i3, i5, i7): Papan induk yang menggunakan soket ini menawarkan harga dari serendah RM 250 bagi Asus H81M-K yang dilengkapi dengan chipset H81. Walaubagaimanapun, terdapat juga papan induk yang menyokong penggunaan soket 1150 ini mencecah harga sehingga lebih dari RM1000. Pada kebiasaannya, papan induk bersoket 1150 ini dilengkapi dengan chipset-chipset jenis, B85, H97, Z97 dan Z87.

Intel Socket 1151 (Skylake Core i3, i5, i7): Soket paling terkini setakat artikel ini ditulis yang diperkenalkan oleh Intel bersempena pengenalan siri pemprosesan terbarunya, Skylake. Apa yang menarik, terdapat papan induk soket ini yang dijual pada harga mampu milik melalui Asus H110M-D D3 pada harga RM 267. Namun, harganya boleh melonjak sehingga lebih dari RM1000 untuk jenis berspesifikasi tinggi. Antara chipset-chipset yang digunakan oleh papan-papan induk soket ini adalah H110, B150, H170 dan Z170.

Memilih Memori Capaian Rawak (Random Access Memory, RAM) yang terbaik

DDR3 RAMDDR3 adalah jenis RAM yang digunapakai pada kebanyakan papan induk model pada ketika ini. Untuk sistem komputer peringkat pertengahan, penggunaan RAM DDR3-1600 dari mana-mana pengeluar pun sudah memadai. Papan induk peringkat atas mampu menyokong RAM yang berprestasi tinggi seperti Kingston Predator DDR4 2400 yang berkapasiti sehingga 16GB. Namun, harganya pun boleh tahan sehingga mencecah RM499 seunit. Pada kebiasaannya, harga RAM dijual dalam lingkungan RM60 hingga RM600 seunit bergantung dengan kadar frekuensi dan kelajuannya.

Unit Bekalan Kuasa (Power Supply Unit, PSU) yang bersesuaian

Power Supply UnitBerapa jumlah kuasa yang PSU perlu bekalkan pada sesebuah komputer bergantung kepada kad grafik yang dipasang serta keperluan kuasanya. Untuk pasang komputer desktop sendiri, sebuah PSU yang berkeupayaan di antara 300 dan 400 watt sudah memadai untuk sebuah sistem komputer yang tidak dilengkapi kad grafik berasingan. Jika anda ingin memasang kad grafik, anda perlu menyediakan peruntukan kuasa sebanyak 55 Watt (untuk AMD Radeon R7 250 misalnya) hingga 300 Watt (untuk NVIDIA GeForce GTX 980 misalnya) serta lebihan 20 peratus untuk setiap kad grafik. Kecekapan penggunaan kuasa pada PSU pula perlu dikekalkan pada 80 peratus ke atas untuk mengekalkan kestabilan sistem komputer.

Kerangka (Casing)

Dah beli-beli semua hardware untuk pasang komputer tu, jangan lupa bajet untuk casing sekali. Casing ni terpulang pada cita rasa masing-masing. Nak yang fancy-fancy, harganya mahal sikit la. Kalau nak yang biasa-biasa je, dalam RM50 pun boleh dapat. Tambah lagi sikit cukupkan RM100, dah boleh dapat casing siap pasang power supply. Nak jimat lagi? Pakai kotak pun boleh atau lagi jimat, tak payah ada casing pun komputer desktop still boleh hidup jugak.

Imej dari Mike Verdon
Imej dari Mike Verdon

Tinggalkan komentar