Firma elektronik dari Jepun, Panasonic menyatakan pada hari Khamis lalu bahawa pihaknya menghentikan penghantaran sebahagian jenis komponen kepada Huawei dan turut menghentikan semua urusan perniagaannya dengan Huawei berikutan arahan sekatan perdagangan yang dikenakan oleh A.S. Bagaimanapun, satu pusingan-U telah dibuat, dan Panasonic akan terus membekalkan perkakasannya kepada syarikat dari China berkenaan.

Panasonic sebelum ini telah mengeluarkan notis dalaman bahawa pihaknya akan menggantung sementara urusniaga dengan Huawei dan 68 anak syarikatnya yang diharamkan oleh kerajaan AS. Selepas meneliti peraturan sekatan oleh A.S. tersebut, Panasonic mengambil keputusan untuk menjalankan urusniaga seperti biasa. “Huawei sentiasa menjadi rakan dagangan penting Panasonic Corp,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Panasonic.

“Kami akan terus menjual komoditi dan menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan-pelanggan kami dari China termasuk Huawei, berdasarkan undang-undang dan peraturan sesebuah negara atau rantau yang menempatkan Panasonic Corp. Melalui khidmat sokongan kepada China, kami turut membantu perniagaan kami berkembang di China juga.”

Huawei dalam masa yang sama turut mengeluarkan sebuah kenyataan berterima kasih kepada Panasonic di atas sokongan konsisten yang diberikan.

“Panasonic adalah rakan penting Huawei dan kedua-dua pihak bekerjasama rapat dalam pelbagai bidang,” menurut kenyataan dari Huawei tersebut. “Kerjasama perniagaan antara Panasonic dan Huawei akan terus erat ke arah kemajuan. Terima kasih kepada Panasonic atas sokongannya yang konsisten kepada Huawei. Pada masa yang sama, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakan pembekal global kami yang telah menyokong pembangunan perniagaan Huawei sejak dari dulu lagi.”

Sungguhpun berdepan dengan pelbagai jenis kesukaran, Huawei masih lagi mampu bertahan hingga ke saat ini. Namun, untuk melihat sama ada Huawei benar-benar mampu bangkit kembali ke persada global sebelumnya, hanya masa mampu menentukannya.

Sumber berita diperoleh dari ITHome

Tinggalkan komentar