Ryan Giggs, 40, Manchester United

Salah satu tanda yang pasti menunjukkan perubahan usia kita dari remaja kepada kedewasaan adalah apabila kita mula mendapati bintang-bintang sukan utama hari ini adalah bintang sukan yang lebih muda dari usia kita.

Masa umur-umur remaja dahulu, aku mengagumi para pemain-pemain bintang ini dan sedikit sebanyak terpengaruh dengan gaya permainan mereka. Diam tak diam, pemain-pemain bintang zaman sekarang ni umur baya-baya aku je. Tidak lama lagi, pada satu tahap, aku bakal mendapati pemain-pemain ternama yang muncul silih berganti ini cuma baya-baya anak aku je.

Tambahan pula, pemain-pemain bintang kegemaran yang menjadi idola waktu aku remaja dahulu kini mempunyai anak-anak mereka yang turut sama mengikut jejak langkah bapa mereka. Sebagaimana yang dilalui oleh pemain-pemain seperti Brooklyn Beckham, Enzo Zidane dan Christian Maldini. Terasa cepat sungguh masa berlalu.

Kalau aku pun boleh terasa masa berlalu pantas sepanjang mengikuti perkembangan dunia bola sepak ni, entah macam mana pulak perasaan Ryan Giggs sepanjang karier bola sepak beliau.

Pemain tengah ‘malar hijau’ yang masih lagi bermain untuk Manchester United ini telah menyambut hari ulang tahun ke-40 beliau semalam. Untuk mencapai ke tahap ini dan pada usia sebegini tua bukanlah suatu usaha yang mudah.

Sewaktu awal kemunculan Ryan Giggs bersama ‘Syaitan Merah’ pada tahun 1991 dahulu, kapten pasukannya adalah Bryan Robson. Sir Alex Ferguson masih lagi belum mendapat gelaran pangkat ‘Sir’ serta Manchester United masih lagi belum merangkul kejuaraan Premier League yang pertama di bawah pengurusan beliau. Pada waktu tu juga, Premier League pun belum diwujudkan lagi dan yang ada paling tinggi waktu tu adalah First Division.

Tidak lama selepas itu, Bryan Robson pencen dari arena bola sepak dan melalui zaman karier suram sebagai pengurus yang seringkali menemui kegagalan. Sempat juga nama Bryan Robson naik di rantau Asia Tenggara sewaktu membimbing pasukan kebangsaan Thailand dari tahun 2009 hingga 2011. Manakala Sir Alex Ferguson pula menemui rentak gemilang beliau sebagai pengurus Manchester United hingga menjadi pengurus terhebat Britain sepanjang zaman disamping turut sama melonjakkan nama EPL sebagai fenomena global.

Banyak perkara telah berlaku sepanjang tempoh 22 tahun ini, tetapi Ryan Giggs masih lagi steady bermain bola sepak seperti biasa.

Secara ringkas, pencapaian terbaik beliau termasuklah pemain yang paling kerap bermain untuk Manchester United, pemain yang paling kerap bermain di dalam Champions League, pemain paling berusia bermain di dalam Sukan Olimpik dan juga pernah dicalonkan sebagai pemain terbaik sepanjang sejarah Manchester United.

Sebagaimana persoalan yang ditanyakan oleh pemain Bayer Leverkusen kepada Wayne Rooney sewaktu perlawanan kempen Champion League, macam mana umur dah tua pun boleh steady berlari sampai lebih 10 km?

Walaupun tempoh karier beliau yang amat panjang ini adalah sesuatu yang harus dipuji, namun usaha untuk mencapainya bukanlah sebuah keajaiban. Selain daripada tahap kecergasan fizikal semulajadi beliau yang tinggi dan juga dedikasi untuk menjaganya secara konsisten, aku percaya Ryan Giggs mendapat manfaat dari dua kunci utama faktor yang menyumbang kepada karier beliau.

Pertama, keputusan untuk menamatkan karier bola sepak antarabangsa beliau enam tahun lalu membolehkan beliau berehat dengan lebih lama berbanding pemain-pemain bintang lain yang terpaksa terbang ke sana ke mari untuk mewakili negara masing-masing.

Wales tentunya kehilangan Ryan Giggs. Tetapi itu semua tidak menjadi hal memandangkan Wales tidak mampu untuk layak ke Euro mahupun Piala Dunia dan ketiadaan Ryan Giggs langsung tidak memberi kesan.

Sungguhpun begitu, kegagalan Wales untuk meraih tempat di kejohanan utama dunia termasuk sewaktu penyertaan Ryan Giggs di dalam skuad kebangsaan, telah memberikan kesan jangka panjang yang amat besar terhadap karier beliau. Ia membenarkan Ryan Giggs mendapat rehat secukupnya sepanjang cuti rehat musim panas. Beza yang amat besar jika dibandingkan dengan pemain-pemain bintang lain yang terpaksa meluangkan masa hingga enam minggu membantu skuad negara kelahiran masing-masing.

Ia bukanlah kebetulan sama sekali apabila seorang lagi pemain lama Manchester United, Paul Scholes, turut sama pernah menolak tawaran untuk bermain di dalam skuad kebangsaan England 9 tahun sebelum beliau bersara. Akhirnya, Paul Scholes masih lagi mampu untuk bermain bersama Manchester United hingga usia beliau mencecah 38 tahun.

Satu lagi sebab mengapa Ryan Giggs mampu bermain untuk jangka usia yang panjang adalah kerana polisi oleh Sir Alex Ferguson itu sendiri. Beliau dengan bijaknya sejak awal lagi sudah menjangkakan Ryan Giggs tidak mampu diturunkan bermain pada setiap minggu secara konsisten. Maka, ketetapan telah dibuat supaya pada perlawanan-perlawanan tertentu, Ryan Giggs akan direhatkan.

Sejak dari tahun 2005, Ryan Giggs tidak pernah bermain lebih dari 31 perlawanan bagi setiap musim. Ia kemudiannya menurun kepada 25 perlawanan dan seterusnya lebih rendah daripada itu sejak empat musim kebelakangan ini.

Beza keadaan ini amat ketara apabila pemain-pemain bintang adalah pemain yang kerapkali akan diturunkan sebagaimana berlaku pada Xavi yang usianya kini telah pun mencecah lebih dari 30 tahun.

Jadi, sedang kita kagum dengan kemampuan fizikal beliau yang dibentuk melalui latihan dan juga kecergasan semula jadi beliau, ia juga memberikan kita penjelasan tentang; jika kita menjaga kesihatan tubuh badan kita dengan baik, tubuh badan kita akan jaga diri kita balik (look after your body, and your body will look after you).

Ia juga boleh dijadikan buat diri kita dan juga atlet profesional, termasuk jurulatih-jurulatih yang hanya memikirkan keuntungan dan kelebihan jangka masa pendek terhadap penjagaan tubuh badan diri kita sendiri.

Imej diperoleh dari Daily Mail UK

16 KOMEN

  1. Pergh, dia ni dah main sejak aku sekolah menengah lagi! Kat malaysia pun ada ahli sukan macam dia ni… Le chong wei, aku agak umur dah cecah 50 pun terpaksa dikerah kejar emas olimpik lagi. Hahahahaaa!

  2. Akak ni tak begitu mengikuti perkembangan sukan dlm dn luar negara…kalau ada acara sukan kat tv tu,akak cuma minat semua acara renang dan sukan berkuda..stamina penting utk kekal aktifkan…?

  3. Antara pemain awal yang saya ter ambil tahu masa sekolah menengah dulu. seangkatan dengan Eric Cantona. pemain hebat. dalam setiap 27 atau 28 permainan, dia dapat satu anugerah. hebat kan?

Tinggalkan komentar