Menjelang acara Mobile World Congress (MWC) 2019 yang dijadualkan berlangsung pada minggu hadapan, Oppo turut mengambil kesempatan menghangatkan keadaan dengan menerbitkan iklan acah untuk telefon pintar terbarunya, Oppo F11 Pro.

Sebilangan kicauan yang diterbitkan melalui akaun Twitter rasmi Oppo turut mengesahkan kewujudan telefon pintar terbaru dari Oppo berkenaan. Beberapa ciri turut diperkenalkan, antaranya termasuklah Panoramic View. Secara mudahnya, Panoramic View adalah ciri paparan berskrin penuh tanpa takuk.

Oleh kerana Oppo F11 Pro tidak mempunyai paparan bertakuk, kamera swafotonya ditempatkan pada bahagian atas tengahnya dan boleh dinaikkan secara pop-up apabila ingin menggunakannya.

Oppo F11 Pro turut bakal ditawarkan dalam dua pilihan warna – Thunder Black dan Aurora Green. Warna pada kerangka telefon pintar terbaru Oppo ini juga kelihatan lebih trampil dengan kesan warna cerun (gradient effect).

Berdasarkan maklumat yang diterima melalui kicauan Oppo di Twitter, pihak Oppo cuma menyatakan “Coming Soon”. Namun, memandangkan Mobile World Congress (MWC) 2019 bakal dilangsungkan pada minggu hadapan, terdapat besar kemungkinan telefon pintar ini akan dilancarkan dalam acara tersebut.

Sumber berita diperoleh dari GSM Arena

Tinggalkan komentar