Satu acara pelancaran produk OPPO baharu telah diadakan malam tadi, mengumumkan OPPO Reno7 Pro League of Legends Edition baharu. Telefon ini turut didatangkan dengan pengecas 50W yang nipis berbentuk seakan-akan biskut.
Telefon edisi khas ini didatangkan dengan beberapa rekaan baharu termasuk logo berhuruf ‘L’ yang melambangkan ‘League of Legends’. Turut diketengahkan melalui rekaan tersebut, modul kamera berwarna cyan, dan warna cerun cyan-ungu disekeliling bingkainya. Serta warna berbayang lembut berbentuk kristal pada bahagian belakang, dan lampu notifikasi pada sekeliling kameranya.
Bukan itu sahaja, OPPO Reno 7 Pro LoL Edition ini juga didatangkan dengan pelbagai aksesori. Antaranya, rekaan khas pada kotaknya bagi memberikan penglaman menyahkotak yang lebih menakjubkan.
Malah, pin untuk mengeluarkan dulang kad SIM juga hadir dalam bentuk rekaan seakan-akan peluru, yang diilhamkan dari rantai salah satu watak di dalam LoL, Jinx. Kotak pembungkusan telefon pintar ini juga menyertakan aksesori lain bertemakan LoL seperti bekas pelindung telefon, pengecas, pelekat grafiti, dan sebagainya.
Tema League of Legends pada varian OPPO Reno 7 Pro ini tidak terhenti di dalam bentuk fizikal. Ia juga turut hadir dalam bentuk perisian yang pengubahsuaian di dalam antaramuka ColorOS 12 merangkumi ikon, gambar latar, warna UI sistem, latar belakang aplikasi dan sebagainya.
Lain-lain dari itu, spesifikasi OPPO Reno 7 Pro League of Legends Mobile Game Limited Edition ini masih lagi sama seperti versi standardnya. Antaranya, cipset MediaTek Dimensity 1200-Max, paparan OLED 6.55-inci 90Hz, dan bateri 4500mAh yang menyokong pengecasan sehingga 65W.
Sebanyak 10,000 unit sahaja yang akan dijual dengan harga 3,999 Yuan (~RM1,999) di China. Tidak diketahui sama ada varian ini akan diperkenalkan ke pasaran-pasaran di seluruh dunia termasuk Malaysia.
Pengecas mini Super VOOC 50W Edisi OPPO League of Legends
Seterusnya, OPPO turut memperkenalkan pengecas OPPO 50W League of Legends Mobile Game Limited Edition Ultra-thin Super Flash. Pengecas ini merupakan pengecas OPPO 50W mini Super VOOC yang dilancarkan pada tahun lepas yang diberikan nafas baharu.
Pengecas yang berbentuk seakan-akan biskut ini amat nipis dan boleh dianggap agak padat dan ringan jika dibandingkan dengan pengecas berkuasa tinggi lain. Pin-pinnya juga boleh dilipat bagi memudahkan untuk dibawa ke mana-mana.
Pengecas LoL Edition ini menampilkan warna tema hitam secara keseluruhannya dengan bekas pelindung berbentuk X dengan goresan perkataan JINX padanya.
Kabel datanya boleh dilipat, dipautkan pada pengecasnya untuk digunakan sebagai lanyard. Harga bagi pengecas OPPO 50W League of Legends Mobile Game Limited Edition Ultra-thin Super Flash adalah 399 Yuan (~RM269) di China.













