Sekitar tiga bulan lepas, OPPO telah melancarkan telefon pintar OPPO Reno 6 di Malaysia dan berkesinambungan dari model tersebut, Reno 7 pula dilancarkan di China awal minggu ini. Seperti yang dijangka, Reno 7 menawarkan tiga jenis model di bawahnya iaitu Pro dan SE, selain dari model standard telefon berkenaan.
Dikuasakan oleh MediaTek Dimensity 1200-Max, model Pro didatangkan dengan skrin AMOLED Full HD+ 6.55-inci 90Hz. Dari segi memorinya, telefon ini didatangkan dengna pilihan RAM LPDDR4x sehingga 12GB. Untuk storannya pula, kesemua varian di bawah siri ini hanya menawarkan storan UFS 3.1 256GB sahaja.
OPPO menggunakan sensor Sony IMX766 50MP sebagai kamera utama bagi siri telefon ini dan menggandingkannya dengan kamera ultra-lebar 8MP dan kamera makro 2MP. Modul-modul kamera belakang Reno 7 Pro ini dikelilingi oleh jalur LED yang berperanan sebagai lampu notifikasi. Ciri ini tidak terdapat pada model-model lain di dalam siri ini.
Kamera hadapan bagi siri ini juga menggunakan sensor Sony IMX766. Cuma bezanya lebih kecil iaitu 32MP. Pada harga CNY3,699 (˜RM2452) ketika dilancarkan, OPPO Reno 7 Pro turut menyediakan bateri berkapasiti 4,500mAh dan pengecasan pantas 65W.
Spesifikasi umum OPPO Reno 7
Seterusnya untuk model standard OPPO Reno 7 pula, ia menawarkan paparan AMOLED Full HD+ 90Hz yang sedikit kecil iaitu 6.43-inci. Berbeza dengan model Pro yang menggunakan MediaTek, telefon varian ini menggunakan cipset Qualcomm Snapdragon 778G.
Sensor-sensor kamera yang digunakan oleh model standard ini sama sahaja seperti yang ditawarkan pada model Pro, kecuali sensor utamanya yang menggunakan sensor 64MP. Ditawarkan dengna pilihan RAM dan storan sehingga 12GB dan 256GB, varian standard OPPO Reno 7 turut menyediakan bateri berkapasiti 4,500mAh, namun menawarkan sokongan pengecasan pantas sehingga 60W.
Spesifikasi umum OPPO Reno 7 SE
Untuk OPPO Reno 7 SE pula, telefon ini hadir dengan rekaan bucu melengkung berbanding rekaan rata seperti yang terdapat pada model standard dan Pro. Namun, dari segi saiznya ia masih sama seperti model standard iaitu skrin AMOLED Full HD+ 6.43-inci 90Hz.
Kamera belakang model SE ini kelihatan sama seperti yang terdapat pada model standard dari segi rekaannya. Tetapi berbeza dari segi penawaran spesifikasi kameranya melalui penggunaan sensor utama Sony IMX581 48MP, sensor macro 2MP, dan sensor berkedalaman 2MP. Untuk kamera hadapan, model ini menggunakan sensor Sony IMX471 16MP.
Boleh didapati dengan pilihan RAM sehingga 8GB dan storan sehingga 256GB, OPPO Reno 7 SE menggunakan cipset MediaTek Dimensity 900. Ia juga menawarkan bateri berkapasiti 4,500mAh yang menyokong pengecasan pantas sehingga 33W sahaja.
Di China, siri OPPO Reno 7 menawarkan harga seperti berikut:
- OPPO Reno 7 Pro dari CNY3,699 (~RM2,453)
- OPPO Reno 7 standard dari CNY2,699 (~RM1,790)
- OPPO Reno 7 SE dari CNY2,199(~RM1,459)
Buat masa ini, OPPO masih lagi belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai keberadaan siri Reno 7 ke pasaran Malaysia. Kami akan memaklumkan kepada anda semua sebaik sahaja berita mengenainya muncul kelak.