OPPO Malaysia akan melancarkan siri telefon pintar baharunya Reno 10 dalam minggu ini dengan salah sebuah daripadanya menggunakan pemprosesan Qualcomm Snapdragon mercu. Sungguhpun OPPO Find X6 Pro tidak akan memasuki pasaran Malaysia, OPPO Reno 10+ 5G mungkin menjadi alternatif terbaik buat anda yang inginkan telefpin pintar mercu dari OPPO.
Siri OPPO Reno 10 sebelum ini pernah dilancarkan di pasaran China pada Mei lalu melalui tiga modelnya – Reno 10, Reno 10 Pro dan Reno 10 Pro+. Tiada siri OPPO Reno 9 dilancarkan di Malaysia dan model ini terus berkesinambungan dari OPPO Reno 8.
OPPO Reno 10 Pro+ merupakan telefon pintar paling mercu dari siri berkenaan. Ia menampilkan skrin paparan OLED 6.74-inci 120Hz beresolusi 2772 x 1240 piksel dan menggunakan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8+ Gen 1 yang menyokong rangkaian 5G. Di China, telefon pintar hadir dengan RAM LPDDR5 16GB dan pilihan storan jenis UFS 3.1 sama ada 256GB atau 512GB.
Untuk kameranya, OPPO Reno 10 Pro+ mempunyai tetapan tri-kamera dengan satu kamera utama 50MP f/1.8, kamera telefoto berperiskop 64MP dengan zum optikal 3x dan satu kamera ultra-lebar 8MP. Ia juga mempunyai bateri berkapasiti 4,700mAh yang menyokong pengecasan pantas SuperVOOC 100W melalui port USB-C.
Reno 10 dan Reno 10 Pro
Selain Pro+, terdapat juga model Reno 10 dan Reno 10 Pro yang menawarkan perkakasan peringkat menengah atas. Berdasarkan spesifikasi model di pasaran China, OPPO Reno 10 mempunyai skrin paparan OLED 6.7-inci 120Hz beresolusi 2412 x 1080 piksel dan menggunakan pemprosesan Snapdragon 778G. Pada bahagian belakangnya pula disediakan tri-kamera dengan kamera utama 54MP f/1.7, kamera telefoto 32MP dengan zum optikal 2x dan satu kamera ultra-lebar 8MP.
Manakala OPPO Reno 10 Pro pula ia mempunyai skrin paparan OLED 6.7-inci 120Hz beresolusi 2772 x 1240 piksel. Lebih kurang sama dengan Pro+, namun dibezakan pada pemprosesannya yang menggunakan MediaTek Dimensity 8200. Kameranya jugak hampir sama dengan Pro+ kecuali telefotonya 32MP dengan zum optikal 2x. Reno 10 dan Reno 10 Pro kedua-duanya mempunyai kamera hadapan 32MP dan bateri berkapasiti 4,600mAh. Jika di pasaran China, Reno 10 Pro mempunyai pengecasan pantas 100W, dengan Reno 10 pula mempunyai sokongan pengecasan pantas 80W.
Walaubagaimanapun, spesifikasi di pasaran Malaysia kelak mungkin berbeza. Berdasarkan halaman acah OPPO Reno 10 di laman web rasmi OPPO Malaysia, Reno 10 Pro mempunyai pengecasan pantas SuperVOOC 80W dengan Reno 10 pula menyokong pengecasan pantas 67W.
Acara pelancaran rasminya akan disiarkan secara langsung pada hari Khamis ini, 6 Julai 2023 jam 11 pagi. Anda boleh menonton pelancaran siri Reno 10 melalui Youtube.













