OPPO sedang mempersiapkan untuk melancarkan siri Find X9 di China sekitar Oktober ini. Menjelang pelancaran rasminya, OPPO berkongsikan serba sedikit mengenai telefon pintar berkenaan seperti ukuran ketebalan dan kapasiti bateri.
Di dalam sebuah hantaran di Weibo, Pengurus Produk Siri OPPO Find Zhou Yibao mendedahkan Find X9 berukuran 7.99mm tebal. Sebagai perbandingan, model sebelumnya berukuran lebih nipis pada 7.85mm.

Find X9 juga mempunyai bateri yang lebih besar. Menurut OPPO, kapasiti berkenaan akan ditingkatkan lebih dari 1,000mAh berbanding generasi sebelumnya. Tiada angka spesifik dinyatakan, namun berdasarkan desas-desus sebelum ini berkemungkinan ia akan hadir dengan bateri berkapasiti 7,025mAh. Selain dari itu, baterinya juga akan menyokong pengecasan berwayar 80W dan nirwayar 50W.
Bateri yang lebih besar ini bagaimanapun tidak akan menjadikan telefon pintar baharu OPPO itu kelak menjadi lebih berat. Menurut Zhou, beberapa langkah pengurangan berat pada modul-modul lain telah pun dilakukan dan menjamin Find X9 akan mempunyai berat kurang dari 210 gram.

Untuk spesifikasi lain, beberapa khabar angin mendakwa ia akan menampilkan paparan rata OLED 6.59-inci 1.5K dengan sensor pengimbas cap jari ultra sonik. Di dalamnya, OPPO Find X9 akan menampilkan pemprosesan Dimensity 9500, bergandingan dengan RAM LPDDR5X sehingga 16GB dan storan UFS 4.0 sehingga 1TB. Ia juga dijangka menggunakan Android 16 menerusi antaramuka ColorOS 16.
Dari segi pengimejan, telefon pintar ini akan menampilkan sensor kamera utama Sony LYT-808 50MP, sensor kamera telefoto berperiskop 3X Samsung JN9 50MP dan sensor kamera ultra-lebar Smasung JN5 50MP. Di hadapannya pula disediakan sebuah kamera 50MP.