OPPO buat masa ini dilihat masih lagi menjadi antara pengeluar yang masih kekal menyediakan pengecas di dalam kotak pembungkusan telefon pintarnya. Keadaan ini bagaimanapun dijangka akan berubah tidak berapa lama lagi.

Menerusi satu wawancara dengan media Android Police, OPPO telah mengesahkan pihaknya tidak lagi akan membekalkan bersama-sama pengecas untuk telefon pintar keluarannya pada tahun 2023.

Naib Presiden Jualan dan Perkhidmatan Antarabangsa OPPO Billy Zhang telah mengesahkan perkara ini. Beliau tidak menyatakan produk apakah yang tidak akan menyertakan pengecas tersebut. Namun, membayangkan ia bergantung pada pasaran tertentu dan juga produk itu sendiri.

OPPO dilihat mungkin tidak akan menyertakan pengecas di pasaran-pasaran tertentu dan sesetengah pasaran pula mungkin masih lagi menerimanya bersekali.

Pengecas keluaran OPPO SuperVOOC pula agak sukar untuk didapati di pasaran dan buat masa ini OPPO menyediakannya bersama-sama telefon pintar keluarannya yang terkini.

Untuk memudahkan pengguna mendapatkan pengecas tersebut, Zhang menyatakan pihaknya akan menumpukan perkara tersebut terlebih dahulu sebelum bertindak membuang pengecas dari kotak pembungkusan perantinya.

Beliau tidak menjelaskan dengan lebih lanjut tentang mengapa OPPO merancang untuk tidak menyertakan pengecas bersama-sama kotak pembungkusannya. Namun, kebanyakan syarikat-syarikat pengeluar lain memberikan alasan untuk tidak menyertakan pengecas adalah bagi mengurangkan sisa elektronik demi kelestarian alam.

Tinggalkan komentar