Buat anda yang berhasrat untuk mendapatkan telefon pintar yang lebih bajet dari OPPO A17 yang dilancarkan di Malaysia pada bulan lepas, kini anda mempunyai lebih pilihan melalui OPPO A17k.
Model ini menawarkan pakej yang sama dari segi jenis cipset, kapasiti bateri, saiz skrin dan juga kerintangan air IPX4. Apa yang membuatkan ia lebih murah adalah kerana terdapat pengurangan pada kameranya serta kapasiti RAM yang disediakan.
Sama seperti ‘abang’nya, OPPO A17k hadir dengan skrin LCD IPS 6.56-inci beresolusi 720×1612 dengan kecerahan sehingga 600 nits bersama-sama perlindungan Panda Glass.
Pada sisi kanannya disediakan pengimbas cap jari, manakala pada sebelah bawahnya pula disediakan satu pembesar suara, dan satu port mikroUSB 2.0 untuk pengecasan dan pemindahan data.
Telefon pintar ini menggunakan pemprosesan lapan teras MediaTek Helio G35 yang turut hadir dengan GPU PowerVR GE8320. Ia juga menampilkan RAM berkapasiti 3GB, dan storan dalaman 64GB yang boleh diperluaskan melalui slot kad mikroSD. Turut disediakan sokongan penambahan RAM secara maya sehingga 4GB.
OPPO A17k menggunakan platform OPPO ColorOS 12.1 berasaskan Android. Untuk ketersambungan, telefon pintar ini menyediakan sokongan 4G LTE, Wi Fi 802.11 dan Bluetooth 5.3. Ia juga hadir dengan bateri berkapasiti 5,000mAh, namun tiada sokongan pengecasan pantas yang disediakan.
Ciri video dan fotografinya pula hanya menyediakan sebuah kamera utama 8MP f/2.2 pada belakangnya yang mampu mengambil video 1080p pada 30fps. Di sebelah hadapannya pula disediakan sebuah kamera 5MP f/2.2.
Harga OPPO A17k di Malaysia
OPPO A17k kini boleh didapati di Malaysia menerusi kedai dalam talian rasminya, selain turut ditawarkan di Shopee dan Lazada serta wakil-wakil pengedar yang sah diseluruh negara. OPPO A17k yang ditawarkan dengan pilihan warna Gold atau Navy Blue ini berharga RM499.
- OPPO A17k (RAM 3GB, storan 64GB) – RM499















