Organisasi analisis rangkaian mudah aih, Open Signal pada minggu ini telah menerbitkan satu laporan baru yang memfokuskan penggunaan rangkaian mudah alih ketika wabak pandemik COVID-19 melanda. Laporan berkenaan turut menyertakan Malaysia di dalam senarai kajian kali ini, sama seperti laporan-laporan kajian yang terdahulu.
Sepanjang dua minggu pertama tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), iaitu dari 16 hingga 29 Mac, kelajuan muat turun 4G Malaysia berada di sekitar 13Mbps pada minggu menjelang pelaksanaan PKP. Ia kemudiannya merosot kepada 10.1 Mbps pada minggu pertama PKP.
Pada minggu kedua, OpenSignal merekodkan kemerosotan sekali lagi di dalam kelajuan muat turun iaitu pada 8.8Mbps. Membawakan jumlah kemerosotan prestasi sebanyak 4.5Mbps, bersamaan 34%.
Bagaimanapun, memandangkan kelajuan muat turun purata 4G di Malaysia bukanlah begitu pantas sebelum PKP dilaksanakan iaitu pada 14Mbps sahaja, kemerosotan prestasi kelajuan muat turun ini pastinya dirasai oleh pengguna perkhidmatan mudah alih.
Apa pun, diharapkan prestasi rangkaian mudah alih negara kita tidak terus merosot sehingga pelaksanaan PKP ini dapat ditamatkan dengan jayanya.













