Telefon pintar baharu dari OnePlus, OnePlus Nord CE 5G akan datang ke pasaran Malaysia tidak berapa lama lagi. Menurut OnePlus Malaysia, pra-tempahan akan mula dibuka dari 21 Jun sehingga 25 Jun.
Dari segi variasi, model RAM 8GB dan storan 128GB akan dijual pada harga RM 1,399. Manakala bagi model RAM 12GB dan storan 256GB pula akan djual pada harga RM 1,799. Bagi pembeli yang berhasrat mendapatkannya lebih awal, tawaran potongan harga diskaun menanti anda.
Untuk 100 pelanggan pertama yang membuat pra-tempahan OnePlus Nord CE 5G model 8GB/128GB, anda akan menerima diskaun RM 30. Bagi yang memilih model 12GB/256GB pula boleh mendapatkannya pada harga RM 1,599 dengan diskaun tambahan RM 50 jika menjadi antara 100 pelanggan terawal pra-tempahan.
Harga promosi pelanggan terawal RM 1,599 berkenaan akan ditawarkan secara eksklusif di kedai rasmi OnePlus di Shopee sehingga hari pelancarannya pada 26 Jun. Jika anda memilih untuk mendapatkannya di kedai-kedai fizikal, pilihan harga promosi hari pelancaran ini hanya terhad bagi model 8GB/128GB sahaja.
Telefon pintar ini menawarkan spesifikasi cipset Qualcomm Snapdragon 750G dan paparan 6.43-inci Full HD AMOLED dengan kadar penyegaran semula 90Hz.
Selain itu, OnePlus Nord CE 5g juga didatangkan dengan pengimbas cap jari terbina dalam skrin, tri-kamera 64MP, kamera swafoto 16MP, dan bateri 4,500 mAh. Ia juga menyokong pengecas Warp Charge 30T Plus yang mampu mengecas telefon berkenaan dari sifar ke 70% dalam tempoh 30 minit.













