Microsoft mengumumkan versi Office berikutnya untuk Windows 11 akan mempunyai versi natif 64-bit ARM. Ianya bagi meningkatkan prestasinya pada dokumen besar atau yang dipenuhi imej, serta sokongan add-in 64-bit. Versi Office baharu ini kini di peringkat beta dan boleh didapati menerusi program Office Insiders.
Selain itu, turut diumumkan rekaan baharu Office yang mengadunkan rekaan selaras dengan Windows 11. Aplikasi diperingkat percubaan ini boleh dipasangkan sama ada pada Windows 11 Pratonton atau Windows 10.
Office juga akan menyertakan rekaan mod terang / gelap bagi meningkatkan tahap keselesaan sesetengah pengguna apabila menghadapnya untuk suatu tempoh yang panjang.
Melalui sokongan secara natif pada peranti ARM 65-bit seperti Surface Pro X kelak, kecekapan penggunaan Office dapat dipertingkatkan kerana tidak lagi perlu melalui kaedah emulasi.
Bagaimanapun, agak aneh Office versi ARM 64-bit hadir begitu lewat ke Windows memandangkan Mac M1 sudah pun menerima versi natif pada hujung tahun lepas.
Terdapat juga beberapa fungsi yang disebutkan oleh Microsoft sebelum ini masih belum hadir ke Office versi ARM peringkat beta setakat ini.