Microsoft baru-baru ini mengumumkan perisian pengurusan pejabat yang paling dinanti-nantikan, Microsoft Office 2016 bakal hadir menemui pengguna pada 22 September ini. Sehubungan itu, pengguna Office yang memiliki perjanjian perlesenan pukal (volume licensing agreements) boleh mula memuat turun perisian ini bermula 1 Oktober.

Office versi yang telah diperkemas kini ini turut menampilkan ciri-ciri baru bagi pengguna desktop termasuk fungsi penyuntingan dokumen beregu secara serentak, menyegerakkan dokumen ke storan awanan OneDrive dan banyak lagi.

Bersama-sama pengumuman pelancaran ini, Microsoft turut memaklumkan beberapa ciri terbaru dan pilihan-pilihan untuk para pentadbir IT dan usahawan yang ingin menggunakan perisian ini.

Sebagai permulaan, syarikat tersebut menyatakan bahawa para pengguna Office 365 ProPlus yang membayar langganan mereka secara tahunan turut bakal menerima “Current Branch” (kemaskini fungsi dan keselamatan yang paling terkini) pada 22 September ini. Kemaskini ini turut melibatkan kemaskini aplikasi Office 2016 yang terbaru.

Menurut kenyataan Microsoft di dalam entri blognya, Microsoft akan memperkenalkan cara kemaskini terbaru yang dinamakan sebagai “Current Branch for Business”. Ia menawarkan kemaskini kumulatif sebanyak 3 kali dalam setahun dan pada masa yang sama masih lagi kekal menawarkan kemaskini keselamatan sebulan sekali.

Selain itu, fungsi kawalan trafik semasa kemaskini turut diperkenalkan melalui pengenalan kepada Background Intelligent Transfer Service (BITS) buat pentadbir IT yang menguruskan langganan Office 365 ProPlus.

Microsoft masih lagi meneruskan pendekatan rentas platform melalui perisian Office terbaru ini. Sebelum ini, Microsft telah melancarkan Office 2016 untuk Mac pada Julai lalu.

Menerusi perkembangan terbaru ini, Microsoft turut membangunkan fungsi-fungsi terbaru pada Word, Excel, PowerPoint, OneNote, Outlook dan Translator yang direka khusus berdasarkan kelebihan unik yang ada pada peranti-peranti Apple seperti iPad Pro, sistem operasi mudah alih iOS 9 dan perisian Watch, watchOS 2. Menariknya, kemaskini Office ini turut memberikan sokongan kepada Apple Pencil, Slide Over, Split View multi-tasking serta banyak lagi.

-Sumber berita diperoleh dari Blog Microsoft

1 komen

Tinggalkan komentar