Microsoft telah melancarkan perisian pejabat versi terbarunya yang dikenali sebagai Microsoft Office 2016 semalam ke seluruh pelusuk dunia dan merupakan penambahan terbaru bagi perkhidmatan langganan aplikasi pejabat berasaskan awanan dari Microsoft, Office 365.
Microsoft menyatakan bahawa Office 2016 bakal membolehkan para penggunanya berkolaborasi dengan rakan pengguna lain secara atas talian untuk meningkatkan produktiviti melalui set aplikasi Office yang tidak asing lagi seperti Word, PowerPoint, Excel, Outlook dan Access.
“Inovasi terbaru ini telah mengorak langkah besar dalam mentransformasikan Office dari set individu aplikasi-aplikasi produktiviti kepada set aplikasi yang berangkaian yang direka untuk memberikan perkhidmatan cara kerja yang lebih moden, lebih mudah untuk berkolaborasi dan lebih mudah untuk memberikan kerjasama sesama rakan sekerja (These latest innovations take another big step forward in transforming Office from a familiar set of individual productivity apps to a connected set of apps and services designed for modern working, collaboration and teamwork),” ujar Pengerusi Microsoft, Satya Nadella.
Microsoft pada bulan Julai lalu telah melancarkan sistem operasi terbarunya Windows 10 yang direka untuk digunakan pada pelbagai jenis peranti baik dekstop dan laptop mahupun peranti mudah alih lain seperti telefon pintar dan tablet. Pengenalan Windows 10 oleh Microsoft ini merupakan salah satu usaha syarikat yang berpengkalan di Redmond ini bersaing dalam industri sejak ianya tergugat dengan saingan dari arena tablet dan telefon pintar.
Perisian Microsoft Office 2016 ini boleh didapati di dalam 40 jenis bahasa dan memerlukan sistem operasi Windows 7 dan ke atas untuk keperluan pemasangannya. Bermula semalam, para pelanggan Office 365 berpeluang untuk memuat turun aplikasi Office 2016 sebagai sebahagian daripada langganan mereka.
Pengguna di Malaysia boleh memperoleh dan memuat turun perisian ini melalui laman rasmi Microsoft Office dengan harga jualannya yang bermula dari RM449.99 bagi versi Home & Student.
Sumber berita diperoleh dari Blog Microsoft Office













