Bagi anda yang biasa menonton YouTube tanpa langganan YouTube Premium, anda mungkin pernah menonton iklan menjengkelkan dari OctaFX yang kononnya menawarkan peluang pelaburan dan khidmat kewangan.
Kini, Bank Negara Malaysia (BNM) telah memaklumkan perkhidmatan dan operasi entiti tersebut tidak pernah dibenarkan atau diluluskan di Malaysia.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan semalam, BNM mengumumkan pihaknya telah memasukkan OctaFX ke dalam Senarai Amaran Pengguna Kewangan. Ia mengandungi syarikat-syarikat dan laman web yang tidak dibenarkan atau diluluskan di bawah undang-undang dan peraturan yang dikawal selia oleh BNM.
Senarai tersebut juga boleh dijadikan sebagai panduan untuk pengguna mengenalpasti entiti atau skim yang tidak menerima lesen atau dikawalselia oleh BNM.
Menerusi senarai yang dikemaskini ini, BNM turut memaklumkan entiti yang dikenali sebagai OctaFX ini beroperasi di bawah pelbagai URL laman web yang anda boleh lihat di sini.
Terdahulu, OctaFX juga pernah digantung oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) atas pelbagai sebab. Di dalam Senarai Amaran Pelabur, SC menyatakan syariakt berkenaan menjalankan aktiviti pasaran modal dalam derivatif tanpa lesen dan mengoperasikan pasaran yang dikenali tanpa kebenaran dari SC.
Selain itu, terdapat pelabgai syarikat dengan jenama OctaFX di dalam senarai SC berkenaan seperti OctaFX Trading, octaFX dan OctaFxPower Ltd. Oleh yang demikian, anda sebaiknya menjauhi perkhidmatan-perkhidmatan dan pelaburan kewangan yang meragukan sebegini demi masa depan anda.