nubia telah melancarkan model telefon pintar terbaharunya, nubia V80 Design, untuk pasaran Malaysia. Peranti ini membawakan beberapa ciri menarik seperti butang AI khas dan storan yang besar pada harga mampu milik, menjadikannya pilihan baharu dalam segmen telefon pintar bajet.
nubia V80 Design dilengkapi dengan skrin Paparan Resolusi Tinggi bersaiz 6.75 inci (1940 x 900) yang menyokong kadar segar semula 120Hz dan kecerahan puncak sehingga 1,000 nits.
Dari segi prestasi, ia dijana oleh cipset Unisoc T7280 dan didatangkan dengan konfigurasi tunggal RAM Dinamik sehingga 20GB (8GB fizikal + 12GB maya) serta storan dalaman 256GB. Peranti ini juga mempunyai penarafan rintangan habuk dan air IP65.
Untuk keupayaan fotografi, telefon ini mempunyai sistem tiga kamera di bahagian belakang dengan sensor utama 50MP. Bagaimanapun, butiran mengenai lensa tambahan tidak didedahkan.
Di bahagian hadapan, ia menampilkan kamera swafoto 16MP yang diletakkan dalam rekaan tebuk lubang (punch-hole). Satu ciri unik pada peranti ini ialah butang AI khusus di sisi kiri yang boleh diubah suai fungsinya oleh pengguna.
Spesifikasi utama nubia V80 Design adalah seperti berikut:
- Paparan: 6.75-inci, 1940 x 900, 120Hz, 1,000 nits
- Cipset: Unisoc T7280
- RAM: Sehingga 20GB (8GB + 12GB Dynamic RAM)
- Storan: 256GB
- Bateri: 5,000mAh dengan pengecasan berbalik 10W
- Kamera Utama: 50MP
- Kamera Hadapan: 16MP
- Kalis Air/Debu: IP65
nubia V80 Design kini tersedia di Malaysia dalam dua pilihan warna, iaitu Pale Amber dan Midnight Black, pada harga RM569. Pengguna yang berminat boleh mendapatkan peranti ini melalui peruncit fizikal atau di laman rasmi nubia di platform Shopee.















