Utama Android Nothing Nothing secara rasminya dedahkan Phone (3a) Pro

Nothing secara rasminya dedahkan Phone (3a) Pro

227
0

Nothing telah mula mendedahkan perincian untuk siri Nothing Phone (3a) baharu yang dijadualkan akan dilancarkan pada 4 Mac di Mobile World Congress (MWC) Barcelona 2025. Entri vlog terkini daripada Nothing mempertontonkan rekabentuk Nothing Phone (3a) Pro dengan mengetengahkan pemilihan rekabentuk utama, bahan yang digunakan serta ciri-ciri baharu.

Nothing Phone (3a) Pro ditampilkan sebagai telefon pintar peringkat menengah yang dikuasakan oleh pemprosesan Snapdragon 7s Gen 3. Naik taraf yang paling ketara pada model ini terletak pada sistem kameranya yang bertaraf mercu terdiri daripada kamera bersudut lebar 50MP, kamera berperiskop 50MP yang menawarkan zum optikal 3x, dan kamera ultra-lebar 8MP. Penambahan kamera zum berperiskop ini merupakan naik taraf yang besar untuk siri ini.

Dari segi rekabentuk, Nothing Phone (3a) Pro meneruskan evolusi keunikan estetika Nothing. Apa yang dikongsikan secara rasmi ini juga kelihatan sama dengan apa yang ditiriskan mengenai model telefon pintar baharu ini.

Untuk pertama kalinya di dalam siri (a) ini, telefon pintar ini menampilkan panel belakang yang diperbuat daripada kaca. Berbeza dengan model sebelumnya yang menggunakan plastik. Kerangkanya juga diperbuat daripada aluminium bagi memberikan rasa yang lebih premium. Nothing juga telah memberikan sentuhan baharu pada corak-corak seakan komponen pada panel belakangnya dengan paten dan tektur baharu di bawah kacanya.

Selain Phone (3a) Pro, Nothing juga akan melancarkan Phone (3a) standard. Cuma perincian mengenai spesifikasinya masih lagi agak terhad. Nothing juga mengacah kehadiran telefon pintar mercunya Nothing Phone (3), namun rekaannya masih lagi belum diketahui.

Setakat ini masih lagi belum dapat dipastikan sama ada siri Nothing Phone (3a) ini memasuki ke pasaran Malaysia atau tidak. Dijangkakan lebih banyak maklumat mengenai telefon pintar ini akan diketahui melalui pengumuman rasmi oleh pihak Nothing dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Tinggalkan komentar