Sejak Pekka Lundmark mengambil alih bahagian peralatan telekomunikasi Nokia, Ketua Pegawai Eksekutif berkenaan telah menggariskan tiga fasa rancangannya. Fasa-fasa berkenaan adalah permulaan semula, pemacuan, dan perluasan.
Memandangkan fasa pertama rancangan tersebut telah selesai, Nokia kini sedang menumpukan pada usaha pemacuan. Perubahan strategi ini turut ditunjukkan dengan perubahan logo yang pertama kali dilakukan sejak 60 tahun lalu.
Nokia tidak lagi menggunakan warna biru yang sinonim dengan jenamanya selama ini dan boleh menggunakan apa jua warna. Menurut Pekka Lundmark, Nokia sekarang bukan sekadar syarikat telefon pintar, malah ia merupakan syarikat teknologi perniagaan.
Selain perniagaan peralatan telekomunikasinya yang kian berkembang, Nokia kini sedang menumpukan pada jualan peralatan kepada perniagaan-perniagaan lain.
Ini termasuklah dengan rangkaian dan peralatan 5G persendirian untuk kilang-kilang berautomasi dan bakal menyaingi Microsoft dan Amazon di dalam bidang ini. Dalam pada masa yang sama, Pekka Lundmark juga menyatakan Nokia turut mempertimbangkan membangun dan mengembangkan bidang-bidang lain.















