Nokia, peneraju global dalam industri telekomunikasi menyatakan komitmennya dalam membantu kerajaan mempercepatkan pelaksanaan rangkaian 5G dalam tahun ini.
Pengarah Urusan Nokia Malaysia, Maldives and Sri Lanka Datuk Mohd Rauf Nasir, menyatakan pihaknya menawarkan penyelesaian menyeluruh dalam melaksanakan 5G di seluruh dunia. Oleh itu, pihaknya berminat untuk menawarkan teknologi dan kepakarannya dalam membangunkan rangkaian 5G di seluruh negara.
Menurut beliau menerusi wawancara dengan pemberita dari Bernama:
“Kami mempunyai empat portfolio utama iaitu rangkaian mudah alih, infrastruktur rangkaian merangkumi tiga sub portfolio, perkhidmatan rangkaian awan dan teknologi Nokia.
“Bagi membolehkan 5G beroperasi sepenuhnya, anda perlukan stesen asas atau rangkaian akses radio (RAN) yang juga di bawah portfolio rangkaian mudah alih kami. Nokia mempunyai kesemua aspek ini agar pelanggan dapat menjadikan 5G beroperasi sepenuhnya,”
Tambah beliau lagi, kejayaan pelaksanaan rangkaian 5G bukan sekadar menyediakan infrastruktur kritikal untuk perkhidmatan pengguna, malah turut melibatkan pendigitalan perniagaan.
“Malah, bagi kami, aspek ini amat penting bagi membolehkan sesebuah negara menjadi lebih berdaya saing dalam menarik kehadiran lebih ramai pelabur dengan infrastrukur yang berkelas dunia.
“Kami juga yakin mempunyai teknologi untuk ditawarkan kepada Malaysia bagi menjadikannya lebih kompetitif agar dapat menjana lebih banyak pelaburan,”
Mohd Rauf turut menyatakan Nokia telah melihat pertumbuhan yang memberangsangkan di dalam penawaran penyelesaian rangkaian tetapnya. Ia berlaku dalam sepanjang tempoh dua tahun kebelakangan ini sejak wabak pandemik melanda di seluruh dunia.
“Tumpuan kami bagi tahun ini adalah mempertingkat tawaran penyelesaian rangkaian tetap kami serta meninjau untuk menyediakan penyelesaian rangkaian mudah alih lebih baik berikutan portfolio kami yang sangat kukuh dalam kedua-dua bidang berkenaan,”
Pelaksanaan model Rangkaian Borong Tunggal (SWN)
Berkenaan pelaksanaan model Rangkaian Borong Tunggal (SWN) bagi pelaksanaan 5G, Mohd Rauf memaklumkan Nokia kini bersedia untuk menyokong apa jua keputusan dari pihak kerajaan.
“Saya tidak pasti bagaimana keputusan kerajaan mengenai pendekatan SWN tersebut. Kami serahkan perkara itu kepada kerajaan kerana ini perlu melibatkan kajian pakar dari segi keunikan yang dimiliki oleh negara ini.
“Fokus utama kami lebih kepada menyokong pelanggan untuk menggunakan teknologi terbaharu kami dan akan terus memberi sokongan dan perkhidmatan terbaik kepada mereka,”













