Teknologi NFC membolehkan kita melakukan fungsi-fungsi seperti pembayaran “nirsentuhan”, memautkan peranti dan lain-lain fungsi ketersambungan.

Bagaimanapun, memandangkan jarak sambungan NFC terhad pada 5mm sahaja, pengguna perlu menyentuhkan dua peranti berkenaan bagi memulakan sambungan.

Perkara ini kelak dijangka akan berubah tidak lama lagi apabila badan yang bertanggungjawab merangka piawaian NFC telah mendedahkan Peta Hala Tuju Teknologi untuk tempoh 2 – 5 tahun akan datang.

Forum NFC ini juga merancang untuk menambahbaik teknologi sedia ada dengan meningkatkan jarak penerimaan supaya transaksi yang dilakukan kelak benar-benar nirsentuhan.

Jarak yang dimaksudkan bukanlah begitu jauh, ia hanya empat hingga enam kali ganda dari jarak maksimum sekarang, iaitu sekitar 30mm. Memadai untuk pengguna sekadar melalukan sahaja peranti seperti telefon pintar atau jam tangan pintar ketika membuat pembayaran misalnya tanpa perlu menyentuh terminal.

Selain itu, forum berkenaan juga bercadang untuk meningkatkan keupayaan pengecasan nirwayar NFC dari 1 watt kepada 3 watt. Ini seterusnya dijangka dapat meluaskan bilangan jenis-jenis peranti yang menyokong pengecasan secara nirwayar di masa hadapan.

Turut dimasukkan di dalam peta hala tuju berkenaan Multiple Purpose Tap yang membolehkan sesebuah sambungan poin-ke-poin tunggal untuk memulakan pelbagai tindakan secara serentak. Seterusnya membawakan sokongan penggunaan telefon pintar sebagai peranti Point-of-Sale bagi kegunaan perniagaan dan individu untuk pembayaran. Matlamat kelestarian turut menyertakan fungsi membolehkan NFC berkongsikan data berkaitan untuk membolehkan sesebuah produk boleh dikitar semula.

Tinggalkan komentar