Netflix telah menaikkan harga langganan untuk semua jenis pelan yang ditawarkannya di Malaysia. Kadar baharu ini berkuat kuasa serta merta melibatkan pelanggan-pelanggan baharu dan juga yang sedia ada.
Pelan Mobile yang menyokong penstriman pada satu peranti dengan sokongan resolusi sehingga 480p kini berharga RM18.90, berbanding sebelum ini RM17. Pelan Basic pula yang menawarkan penstriman 720p pada satu peranti sahaja telah dinaikkan pada RM29.90 dari RM28.
Manakala Pelan Standard pula yang menawarkan penstriman pada resolusi 1080p untuk dua peranti telah dinaikkan kepada RM49.90 berbanding sebelum ini RM45. Pelan Premium memperlihatkan peningkatan yang paling mendadak pada RM62.90 berbanding sebelum ini RM55 menyediakan penstriman 4K untuk ditonton sehingga empat peranti.
Peningkatan harga ini bagaimanapun tidak menawarkan apa-apa penambahan baharu daripada Netflix. Ini bermakna pengguna-pengguna masih lagi kekal menonton pada kualiti penstriman yang sama dengan harga yang lebih mahal.
Perkhidmatan-perkhidmatan lain yang turut menawarkan Netflix di dalam pakej juga akan menerima kesan dalam masa yang terdekat ini dari segi harga langganan bulanan masing-masing.

















