Penyedia perkhimdatan internet Korea Selatan, SK Broadband telah menyaman Netflix gara-gara populariti siri Squid Game telah menyebabkan peningkatan trafik internet.
Pembuat dasar dan mahkamah Korea Selatan telah menggesa penyedia kandungan untuk membayar penggunaan rangkaiannya. SK Broadband jua meminta Netflix untuk membayar kos peningkatan trafik rangkaian dan juga kerja penyelenggaraan. Ini dikatakan perlu dilakukan disebabkan oleh penggunaan lebar jalur yang besar oleh penonton Squid Game.
Menerusi saman yang dikeluarkan, Netflix dikatakan telah menjadi punca kenaikan trafik dari 50 Gigabit per saat (Gbps) pada Mei 2018 kepada 1,200Gbps pada September 2021.
Sebagai jawapan, Netflix mengatakan pihaknya akan membuat penilaian semula dakwaan SK Broadband. Pada masa yang sama, Netflix sedia bekerjasama dengan penyedia internet bagi memastikan para pelanggannya tidak terkesan.
Netflix merupakan penjana trafik rangkaian kedua terbesar di Korea Selatan selepas YouTube. Tidak seperti Amazon, Apple dan Facebook, kedua-dua syarikat ini tidak membayar penggunaan rangkaian di Koera Selatan kepada SK Broadband.













