Netflix kini sedang dalam usaha meningkatkan pendapatannya selepas mengalami kejatuhan harga sahamnya di pasaran pada tahun ini. Antara usaha tersebut termasuklah mengekang perkongsian akaun dikalangan pengguna yang tinggal di kediaman berasingan.
Bermula 22 Ogos ini, pelanggan Netflix di Argentina Republik Dominican, El Salvador, Guatemala, dan Honduras perlu membuat bayaran tambahan dengan menambah “homes” pada akaun mereka jika didapati kerap menonton di luar lokasi utama mereka.
Melalui ciri ini, anda kelak hanya boleh menstrim kandungan Netflix di luar kediaman anda sehingga dua minggu sahaja bagi setiap lokasi sebelum diminta untuk mendaftar lokasi tersebut di dalam tetapan “add a home”.
Menurut Netflix, anda tidak akan dicajkan secara automatik bagi lokasi baharu tersebut. Namun, jika notifikasi muncul dan bayaran tidak dibuat sebagaimana yang diminta, TV atau peranti yang anda gunakan dari menggunakan perkhidmatan tersebut. Pengguna boleh menambah sekitar satu hingga tiga ‘rumah’ tambahan bergantung pada pelan yang diambil.
Netflx mengesan lokasi anda berdasarkan alamat IP, ID peranti dan aktiviti akaun. Pengguna boleh menambah satu rumah atau membuang rumah tambahan untuk memberhentikan bayaran tersebut. Setiap satu rumah yang ditambah berharga 219 peso (~RM7) sebulan di Argentina dan US$2.99 (~RM13) sebulan di negara-negara lain.
Penambahan ciri ini merupakan lanjutan dari bayaran perkongsian kata laluan yang kini sedang diuji di Chile, Costa Rica, dan Peru. Kedua-dua ciri baharu ini merupakan salah satu usaha Netflix untuk menghentikan pengguna dari berkongsikan akaun yang menurutnya melibatkan sekitar 100 juta isi rumah di seluruh dunia.
Sungguhpun ia masih lagi diperingkat pengujian, ciri menghalang perkongsian akaun ini dijangka akan diperkenalkan oleh Netflix menjelang akhir tahun ini. Menurut CEO Bersama Netflix Ted Sarandos, pelan Netflix dengan iklan yang lebih murah akan dilancarkan pada tahun ini.













