MYTV Broadcasting menawarkan dua juta unit dekoder percuma untuk pengguna yang layak. Langkah ini merupakan sebahagian daripada Projek Pendigitalan Penyiaran Nasional dan juga untuk merealisasikan pelaksanaan penutupan siaran analog (analog switch off – ASO) secara berperingkat antara 2015 hingga 2020 seiring dengan ketetapan negara-negara ASEAN lain.

Mengikut perancangan, kerajaan akan menutup siaran televisyen analog pada 2018 nanti. Justeru, pengguna yang bergantung dengan isyarat analog tidak lagi dapat menonton siaran televisyen apabila penutupan siaran analogi dijalankan. Pengguna yang pakai Astro boleh guna TV macam biasa.

Projek Pendigitalan Penyiaran Nasional ini dipantau oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan dibawah naungan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

Sebanyak 13 stesen pemancar siaran Televisyen Terestrial Digital (DTT) telah ditempatkan di seluruh negara setakat ini, meliputi sekitar 80 peratus kawasan berpenduduk di Malaysia. Projek ini mensasarkan untuk meningkatkan liputan siarannya ke 98 peratus kawasan berpenduduk menjelang 2018.

Antara saluran-saluran yang ditawarkan melalui DTT merangkumi TV1, TV2, TV3, TV Alhijrah, ntv7, 8TV, TV9 dan Bernama News Channel (BNC). Dijangkakan, saluran-saluran ini akan ditambah dari masa ke semasa.

Sistem yang digunakan untuk pemancaran projek ini menggunakan format DVB-T2 dengan menggunakan gelombang Ultra High Frequency (UHF).

Pengguna boleh membuat semakan sendiri untuk mengetahui status kelayakan masing-masing dengan menggunakan nombor MyKad di mytvbroadcasting.my atau di talian 1300 80 6988.

Tinggalkan komentar