Platform jual beli kenderaan terpakai tempatan MyTukar kini secara rasminya dijenamakan semula sebagai Carro. Nama tersebut juga merupakan nama yang sama digunakan oleh syarikat induknya yang berpangkalan di Singapura.

Langkah ini dilaksanakan bagi memperluaskan dan memperkasakan platform berkenaan sesuai dengan reputasi, jenama dan keupayaan teknologi Carro. Penjenamaan semula ini juga akan melibatkan sejumlah produk-produk sedia ada MyTukar meliputi perkhidmatan bahan pemasaran dan papan tanda fizikal di seluruh Malaysia. Akses ke URL asal MyTukar juga akan dihalakan semula ke laman web syarikat induk platform berkenaan.

Ditubuhkan pada 2017, MyTukar sehingga kini mengendalikan 27 pusat pemeriksaan, lima bengkel, dua pusat pembaikan, dan 11 pusat jualan di seluruh negara.

Di dalam halaman soalan-soalan lazimnya, Carro memberikan jaminan penjenamaan ini tidak akan memberikan kesan terhadap aktiviti pembelian, termasuk kontrak, harga, waranti atau jaminan. Selain itu, sebarang baucar, diskaun dan tawaran, serta sebut harga akan kekal sah digunakan mengikut terma dan syarat yang telah ditetapkan.

Bagaimanapun pembelian, perkhidmatan dan waranti yang dibuat hanya tertakluk mengikut di negara mana ia dibuat, sama ada di Malaysia atau di Singapura sahaja.

Carro turut mendedahkan rancangan untuk memperluaskan pasaran ke negara-negara lain di Asia. Baru-baru ini, syarikat berpangkalan di Singapura ini juga turut mengumumkan pemerolehan Beyond Cars, platform kenderaan terpakai terkemuka di Hong Kong. Hasil dari usaha tersebut, Carro kini berada di tujuh buah pasaran merangkumi Singapura, Malaysia, Indonesia, Thailand, Jepun dan Taiwan.

Tinggalkan komentar