Kongres Mudah Alih Sedunia 2020 (MWC2020) yang dijadualkan berlangsung sekitar Februari ini di Barcelona, Sepanyol secara rasminya telah dibatalkan. Pengumuman ini dikeluarkan oleh GSM Association (GSMA) berikutan kebimbangan wabak Coronavirus.
Perkembangan ini tidak menjadi sesuatu yang mengejutkan memandangkan banyak syarikat yang telah menarik diri dari acara pameran peranti mudah alih antara terbesar di dunia ini. Antara syarikat yang telah menyatakan penarikan diri termasuklah LG, Sony, NVIDIA, Intel, Facebook, Nokia dan HMD Global, MediaTek serta banyak lagi.
Sudah bertahun-tahun lamanya pengeluar telefon mudah alih telah menggunakan MWC sebagai sebuah platform memperkenalkan peranti terbaru. Justeru menjadikan acara pameran ini sesuatu yang amat dinanti-nantikan di dalam industri. Selain itu, acara ini juga menjadi sebuah medan pertemuan antara sektor-sektor lain termasuk badan kawal selia dan juga pihak kementerian dari pelbagai negara.
Pembatalan acara sebesar ini pastinya memberikan kesan terhadap peluang dan juga pelaburan yang telah dibuat oleh pengeluar-pengeluar dan juga para pemain di dalam industri mudah alih ini. Walaubagaimanapun, pembatalan acara ini mungkin tidak menghalang untuk pengeluar-pengeluar peranti mudah alih mengumumkan produk-produk terbaru mereka mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Sumber berita diperoleh dari MWC Barcelona













