Denza, sub-jenama mewah di bawah BYD telah melancarkan MPV elektrik premium keluarannya, D9 ke pasaran Malaysia. Hadir dalam dua varian iaitu Advanced dan Premium dengan salah satu daripadanya yang berharga lebih tinggi mempunyai pacuan semua roda berbanding satu lagi yang hanya mempunyai pacuan roda hadapan sahaja.

Kedua-dua model berkenaan mempunyai bateri 103.6 kWj yang menyokong pengecasan AC 3-fasa 11kW dan DC sehingga 166kW. Tiga pilihan warna ditawarkan untuk MPV elektrik baharu ini yang terdiri daripada Arctic White, Whale Sea Blue dan Cosmos Black.

Untuk di dalamnya, Denza D9 Advanced dan Premium mempunyai head unit 15.6-inci, kluster instrument 10.25-inci di hadapan stereng dan pengecas telefon nirwayar 50W. Juga disediakan bumbung matahari panoramik, dan peti sejuk / peti pemanas dengan skrin sentuhnya sendiri.

Dari segi prestasi, model Advance yang mempunyai pacuan roda hadapan sahaja ini mempunyai kuasa sebanyak 230kW, dan tork 360Nm. Masa pecutan dari 0 hingga 100km/j dikirakan pada 9.5 saat dengan jarak NEDC pula mampu mencapai 600km. Manakala untuk model Premium dengan pacuan semua roda pula mempunyai output kuasa sebanyak 270kW dan tork 479Nm. Masa pecutannya pula adalah 6.9 saat dan jarak NEDC 580km.

Sesuai dengan tarafnya selaku MPV elektrik, kedua-dua model ini didatangkan dengan sejumlah ciri-ciri keselamatan dengan kawalan cengkaman dan kestabilan. Selain itu, khusus untuk model Premium, ia mempunyai ciri pemantauan kepenatan pemandu dan pengesan kelekaan pemandu. Ia juga dilengkapkan dengan Forward Traffic Crossing (FTC) Alert dan FTC Braking.

Harga BYD Denza D9 di Malaysia

Untuk Denza D9 Advanced, ia dijual di Malaysia pada harga RM259,000 dengan model Premium pula dijual pada harga RM309,000. Perkhidmatan waranti yang ditawarkan bagi kedua-dua model ini juga merentasi sempadan antara Malaysia, Singapura dan Thailand. Maklumat lanjut mengenai Denza D9 Advanced dan Denza D9 Premium boleh di dapati menerusi laman web rasmi Denza Malaysia.

Tinggalkan komentar